Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan duit raya kepada pelajar asnaf di Masjid Universiti Selangor (Unisel) kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 12 April 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

MB rai pelajar asnaf, hulur sumbangan hari raya

KUALA SELANGOR, 12 APRIL: Seramai 100 pelajar asnaf di Universiti Selangor (Unisel) menerima sumbangan duit raya dalam Majlis Iftar Perdana bersama Dato’ Menteri Besar hari ini.

Sumbangan itu disampaikan Dato’ Seri Amirudin Shari selepas berbuka puasa bersama kakitangan dan pelajar di Dataran Konvo Unisel kampus Bestari Jaya.

Ketika berucap, Amirudin yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Unisel berkata berbuka puasa merupakan majlis pertemuan yang menjadikan hubungan lebih akrab serta memahami antara satu sama lain.

“Justeru, ia menjadikan Unisel sebagai universiti terkenal dengan mencatat kegemilangan sendiri. Saya bersyukur kerana dapat berkumpul bersama mahasiswa dan mahasiswi Unisel.

“Setelah dua tahun tidak dapat bersama, saya berkelapangan hadir ke majlis seperti ini untuk bersemuka dengan warga Unisel yang merupakan sebahagian keluarga besar,” katanya.

Terdahulu, seramai 2,000 kakitangan dan pelajar Unisel diraikan dalam Majlis Iftar Perdana bersama Dato’ Menteri Besar.

Kehadiran Amirudin pada jam 6.45 petang diiringi Presiden dan Naib Canselor Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Turut hadir, EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli.

Amirudin juga menunaikan solat Maghrib, Isyak dan tarawih secara berjemaah di Masjid Unisel.


Pengarang :