Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut serta dalam majlis Tadarus Al-Quran Perdana Hulu Selangor di Masjid Nurul Iman, Hulu Selangor pada 19 April 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB seru umat Islam hayati makna ayat al-Quran, jadikan panduan hidup

HULU SELANGOR, 19 APRIL: Dato’ Menteri Besar mengajak umat Islam menghayati makna ayat suci al-Quran di samping menjadikanya sebagai panduan dalam kehidupan seharian.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dengan berpandukan kepada kitab suci tersebut umat Islam pasti berada di jalan yang benar dan tidak sesat selama-lamanya.

“Sebagai umat Islam kita tidak hanya mendirikan solat sebaliknya perlu menjaga hubungan sesama manusia, membaca al-Quran termasuk berusaha mendalami maknanya sekali gus kita memperoleh perkara baharu dalam kehidupan.

“Aspek keseimbangan ini yang boleh dicapai dalam pentadbiran Kerajaan Negeri selaras dengan al-Quran yang mengarahkan supaya kita melahirkan sebuah negeri baik, sejahtera dan sentiasa membuat penambahbaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tadarus al-Quran Perdana Hulu Selangor dan majlis berbuka puasa bersama ketua agensi dan jabatan serta penduduk Hulu Selangor di Masjid Nurul Iman Serendah di sini hari ini.

Pada masa sama, Amirudin menjelaskan Kerajaan Negeri akan berusaha melaksana beberapa penambahbaikan bagi program sedia ada dan terus mengutamakan rakyat.

“Saya sentiasa mengingatkan diri sebagai pentadbir bahawa kerja melakukan penambahbaikan memang benar ada kesilapan atau kekurangan tetapi insya-Allah dari hari ke hari waktu ke waktu kita akan sentiasa perbaiki,” katanya.

Terdahulu, lebih 300 ketua jabatan pelbagai agensi dan penduduk daerah ini dirai dalam majlis berbuka puasa bersama Dato’ Menteri Besar.

Pada majlis berkenaan, Amirudin meluangkan masa kira-kira satu jam bagi menghayati dan bertadabbur kitab suci al-Quran.

Bacaan al-Quran itu disertai 70 wanita tadarus sekitar Hulu Selangor, 30 pelajar Maahad Tahfiz Nurul Iman dan Maahad Tahfiz Darul Huffaz.


Pengarang :