Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat bengkel automotif selepas Majlis Penjenamaan Kolej Antarabangsa INPENS kepada Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) di Kuala Selangor pada 25 Ogos 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: STDC tempat lahir pekerja mahir, penuhi keperluan negeri maju

KUALA SELANGOR,13 APRIL: Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) diyakini mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran dan berkualiti untuk meneruskan dasar pembangunan cemerlang negeri.

Dato’ Menteri Besar berkata penjenamaan semula Kolej Antarabangsa INPENS (INPENS) kepada STDC dua tahun lepas dilaksana selepas melihat model negara luar yang menjadikan teknikal dan vokasional asas penting kepada pembangunan.

“Kita perlukan mereka yang berkemahiran dan berkualiti untuk meneruskan dasar dan pembangunan cemerlang negeri selain menjadi nadi penting kepada kejayaan dan pembangunan negara.

“Mungkin pada awalnya dimulakan dengan latihan kecil-kecilan tetapi dari semasa ke semasa kita mencari ruangan untuk teknikal dan vokasional, bidang kemahiran bukan hanya pilihan kedua,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap dalam Majlis Jalinan Ukhuwah Ramadan di STDC Kuala Selangor hari ini. Terdahulu, Amirudin meluangkan masa berbuka puasa bersama 330 kakitangan dan pelajar STDC.

STDC merupakan institusi pendidikan teknikal yang bernaung di bawah Kerajaan Negeri dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI sebagai pemegang saham terbesar di dalam syarikat.

Pada Ogos 2020 Kolej Antarabangsa INPENS yang bertempat di Kuala Selangor dijenamakan semula sebagai STDC bagi memperkasakan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET).


Pengarang :