Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan akan bertanding jawatan naib presiden dalam Pemilihan Keadilan 2022 ketika mengadakan sidang media di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar Selangor Seksyen 7, Shah Alam pada 11 April 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB tandingi jawatan naib presiden KEADILAN

SHAH ALAM, 11 APRIL: Dato’ Seri Amirudin Shari bertanding jawatan naib presiden pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) bagi penggal 2022/2024.

Dato’ Menteri Besar berkata keputusan dibuat hasil perbincangan panjang melibatkan semua pihak terutamanya pimpinan Selangor, pusat, cabang serta negeri lain.

“Keputusan ini ambil masa panjang. Bukan dibuat sehari dan akhirnya buat keputusan dengan keyakinan boleh menang dan menyumbang kepada kekuatan di Selangor.

“Kita berbincang dengan banyak pihak dan kebanyakan yakin ada sokongan. Kita yakin menang dengan majoriti, sesuai dengan menyemarakkan reformasi,” katanya mengumumkan perkara itu di kediaman rasmi hari ini.

Pemimpin lain yang turut hadir Naib Presiden parti Tian Chua, Timbalan Majlin Pimpinan Negeri (MPN) Selangor Hee Loy Sian serta Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri.

Amirudin berkata setakat 4 petang tadi seramai 16 individu menawarkan diri merebut jawatan berkenaan dan jumlah boleh bertambah memandangkan masa pendaftaran dibuka sehingga 12 malam ini.

“Angka ini bukan asing kerana berbelas calon naib presiden akan bertanding setiap kali pemilihan berjalan,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melaungkan `Reformasi’ ketika mengadakan sidang media di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar Selangor Seksyen 7, Shah Alam pada 11 April 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Amirudin bertugas sebagai pegawai di ibu pejabat KEADILAN pada 2003 sebelum menyertai parti secara rasmi setahun kemudian di usia 24 tahun.

Ketika itu juga beliau menjadi ahli lantikan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan menjelang 2007 menyertai pimpinan AMK.

Beliau dilantik sebagai ahli pimpinan pusat dari 2008/2009 sehingga ke hari ini.

Sementara itu mengulas persaingan bekas Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador bagi jawatan Ketua Cabang Gombak, beliau berkata perkara itu merupakan sistem demokrasi parti.

“Semua mempunyai peluang untuk tampilkan pimpinan. Biar proses demokrasi berjalan lancar,” katanya.

 


Pengarang :