Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDANASIONAL

MB ucap takziah pemergian bekas KSN Ali Hamsa

SHAH ALAM, 21 APRIL: Dato’ Menteri Besar mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa yang meninggal dunia hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

“Inalillahwainailaihirajiun. Merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Ali Hamsa, mantan Ketua Setiausaha Negara yang telah meninggal dunia,” tulisnya di Twitter.

Allahyarham yang berusia 66 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Dublin, Ireland.

Ali yang merupakan anak jati Johor menabur bakti di pelbagai kementerian dan jabatan kerajaan sejak memulakan khidmatnya di Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik pada 1981.

Beliau yang berkhidmat sebagai KSN selama enam tahun dari 2012 juga pernah memegang jawatan sebagai pengerusi Program Perumahan 1Malaysia, ahli Jawatankuasa Pakar Pentadbiran Awam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN CEPA) dan pengerusi Institut Integriti Malaysia.


Pengarang :