Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis Rapat Ramadan bersama Dato’ Menteri Besar Dan Penjawat Awam di Auditorium Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 8 April 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

MB umum Bantuan Khas Kewangan sebulan gaji untuk penjawat awam

SHAH ALAM, 8 APRIL: Kerajaan Selangor hari ini mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebulan gaji kepada penjawat awam negeri ini sebagai menghargai komitmen mereka.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amiruddin Shari berkata pemberian BKK atau Insentif Rahmah Ramadan Selangor berjumlah lebih RM39 juta itu akan dibayar pada 27 April iaitu sebelum sambutan Aidilfitri.

“Untuk menghargai usaha serta komitmen penjawat awam negeri, Kerajaan Negeri bersetuju memberikan Insentif Rahmah Ramadan Selangor sebanyak satu bulan gaji, minimum RM1,000 kepada semua anggota perkhidmatan Kerajaan Negeri termasuk yang gajinya dibayar kerajaan Persekutuan dengan anggaran implikasi kewangan sebanyak RM39.15 juta.

“Kerajaan Negeri juga bersetuju Insentif Rahmah Ramadan Selangor berjumlah RM1,000 kepada pemimpin masyarakat iaitu Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Pegawai Perhubungan Kampung Baru/Bagan/ Tersusun, Ketua Komuniti India, Setiausaha MPKK dan Penyelia Wanita Berdaya Selangor (WBS),” katanya.

Pengumuman itu dibuat ketika Rapat Rahmah Ramadan di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Amirudin berkata insentif sama sebanyak RM500 turut dipanjangkan kepada penggerak belia Selangor serta penggerak masjid seperti nazir, imam, siak dan bilal atas dedikasi pengimarahan institusi masjid sepanjang Ramadan ini.

Katanya, bagi insentif untuk golongan pemimpin masyarakat dan penggerak masjid, sebanyak RM1.5 juta ditaja Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.


Pengarang :