Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor (dua, kanan) menyampaikan sumbangan kepada anak yatim pada Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya pada 10 April 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MBI peruntuk RM300,000 jayakan program jualan murah bersama PKPS

PETALING JAYA, 11 APRIL: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntukan RM300,000 untuk bersama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mengadakan program jualan murah barangan asas sebelum Syawal ini.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata pihaknya turut serta dalam program itu kerana mahu lebih ramai rakyat Selangor mendapat barangan asas dengan harga lebih murah.

“Kita memperuntukkan sejumlah bajet bagi memberi subsidi kepada orang ramai membeli daging, ayam dengan harga lebih murah dari pasaran.

“Sebelum ini kita memang ada perancangan untuk jualan seperti ini tetapi tidak mempunyai keupayaan jadi apabila PKPS buat kita turut serta dengan menyumbang wang tunai RM300,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih anjuran Selangor FC dan MBI di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini.

Pengurus besar perniagaan dan pemasaran PKPS Rosnani Abdul Malek memaklumkan pihaknya mengadakan program jualan murah barangan asas secara besar-besaran sebelum Syawal antara 29 April hingga 1 Mei.

Inisiatif Jualan Prihatin Rakyat meliputi ayam, telur, daging, ikan dan sayur-sayuran dengan kuantiti ditawarkan lebih banyak.


Pengarang :