Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor bercakap kepada Media Selangor selepas Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya pada 10 April 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MBI rancang bawa anak yatim rasai suasana bola sepak di stadium

PETALING JAYA, 11 APRIL: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berhasrat membawa anak yatim dan kanak-kanak kurang berkemampuan ke stadium bagi merasai suasana perlawanan bola sepak.

Ketua tanggungjawab sosial korporat MBI berkata golongan itu bukan sekadar menonton aksi bola sepak, malah dibawa meninjau keseluruhan stadium termasuk di bilik persalinan.

“Hasrat saya nak bawa kegemilangan menyaksikan perlawanan bola sepak secara langsung di depan mata. Kita akan bawa anak-anak dari seluruh Selangor.

“Kita sasar 60 kanak-kanak iaitu 30 anak yatim dan 30 lagi kanak-kanak dari keluarga kurang berkemampuan,” kata Ahmad Azri Zainal Nor semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih anjuran Selangor FC dan MBI di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang juga Pengerusi Selangor FC berkenan berangkat ke majlis berkenaan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut serta bagi menyaksikan perlawanan bola sepak Liga Super antara Selangor FC menentang Kedah FC.

Ahmad Azri berkata perancangan itu susulan program semalam di mana seramai 60 anak yatim dan kanak-kanak kurang berkemampuan dirai.

“Sebelum berbuka kita bawa mereka masuk ke padang, ke bilik persalinan dan beramah mesra dengan pemain di mana mereka diberi kata semangat,” katanya.


Pengarang :