Pemerbadanan Menteri Besar atau MBI menyumbang 400 pek makanan kepada pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) semalam. Foto Facebook UPM
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MBI serah 400 pek makanan kepada pelajar UPM

SHAH ALAM, 13 APRIL: Pemerbadanan Menteri Besar atau MBI menyumbang 400 pek makanan kepada pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) semalam.

Ketua Pentadbiran Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) universiti berkata inisiatif anak syarikat Kerajaan Negeri itu bertujuan meringankan beban perbelanjaan pelajar.

“Mungkin ada pelajar terpaksa mencatu duit poket bagi menampung keperluan harian. Jadi sumbangan ini dapat mengurangkan beban mereka ketika meneruskan pembelajaran ketika Ramadan ini,” kata Abdullah Arshad dalam kenyataan di Facebook UPM.

Sementara itu ketua jabatan integriti dan tadbir urus MBI berkata UPM adalah institusi pengajian ketujuh di Selangor yang menerima sumbangan terbabit.

“Juadah berbuka puasa ini adalah agenda tahunan syarikat yang bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan menikmati hidangan yang enak,” kata Mudirah Muhammad Nor.

Katanya, sepanjang Ramadan ini MBI mengagihkan 1,000 pek makanan berlauk setiap hari di beberapa lokasi terpilih.

Syarikat itu memperuntukkan dana RM3 juta bagi menjayakan program Ihya’ Ramadan tahun ini termasuk sumbangan bagi aktiviti mengimarah masjid dan surau.


Pengarang :