Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md. Amir (empat dari kiri) menyaksikan persembahan tarian singa pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina di Seksyen 52, Petaling Jaya pada 14 Februari 2022. FOTO MBPJ
PBTSELANGOR

MBPJ: Caj parkir percuma bagi satu jam pertama di Kompleks A, C, Seksyen 52

SHAH ALAM, 22 APRIL: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menawarkan tempat letak kereta percuma bagi satu jam pertama di Kompleks A dan C, Seksyen 52 mulai 25 April ini.

Sekretariat media unit komunikasi korporatnya berkata ia bertujuan menggalakkan pengunjung meletak kenderaan di kompleks itu khususnya pada waktu puncak.

Katanya, berdasarkan kajian terdapat 386 petak kosong di tempat letak kereta berkenaan pada waktu puncak dan pengguna disaran meletak kenderaan di lokasi itu jika perlu berurusan pada waktu singkat.

“Pengguna yang meletak kenderaan di Kompleks A dan C tidak dikenakan bayaran bagi satu jam pertama dan bayaran RM1.50 hanya dikenakan bagi jam kedua serta seterusnya.

“Ia akan memudahkan orang ramai yang berurusan di Seksyen 52, Petaling Jaya iaitu lokasi tumpuan pelbagai aktiviti komersial seperti perbankan, perniagaan, restoran dan klinik, selain menempatkan pejabat kerajaan serta swasta,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, MBPJ juga akan mengarahkan kakitangan yang meletak kereta di bahu jalan supaya menggunakan parkir di ibu pejabat MBPJ, Komplek A dan C supaya tempat letak kereta itu boleh digunakan oleh orang ramai.

“Ada 1,093 petak tempat letak kereta di bahu jalan di Seksyen 52 tetapi sebahagian kecilnya digunakan oleh kakitangan MBPJ, jadi mereka akan diarah meletakkan kenderaan di ibu pejabat MBPJ, kompleks A dan C supaya petak parkir sedia ada dapat digunakan orang awam terutama pada waktu puncak.

“Penempatan semula ini dijangka selesai pada Mei dan akan meningkatkan jumlah petak letak kereta di bahu jalan sebanyak 13 peratus untuk kegunaan orang awam,” katanya.

Orang ramai boleh menghubungi Jabatan Perbendaharaan MBPJ di talian 03-79563544 sambungan 145,138 atau 132 jika mempunyai sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut.


Pengarang :