Orang ramai mengimbas kod QR MySejahtera ketika mengunjung bazar Ramadan PKNS untuk membeli juadah berbuka puasa di Shah Alam pada 3 April 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSA guna sistem nombor, kawal pengunjung keluar masuk bazar Ramadan

SHAH ALAM, 7 APRIL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menggunakan sistem nombor giliran bagi mengawal keluar masuk pengunjung ke bazar Ramadan tahun ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Shahrin Ahmad berkata usaha itu dibuat bagi memastikan tidak terlalu ramai orang awam berada dalam kawasan bazar pada satu-satu masa.

“Meskipun sudah memasuki fasa peralihan endemik kita masih gunakan sistem ini untuk memastikan tidak berlaku kesesakan dalam bazar di samping mengurangkan risiko penularan Covid-19.

“MBSA menasihatkan pengunjung tidak berada terlalu lama dalam bazar terutama ibu bapa yang membawa anak kecil,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas Sistem Kawalan Orang Ramai (CCS) yang diguna pakai Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Shahrin berkata pihaknya memuji teknologi seperti itu yang disifatkan satu kaedah yang baik.

“Namun, kita belum ada cadangan untuk membuat sistem teknologi itu dan masih mengekalkan sistem nombor giliran yang dijaga oleh petugas Sukarelawan Malaysia (Rela),” katanya.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan Persekitaran MBSA turut melaksanakan pemantauan secara kerap di bazar bagi memastikan peniaga sentiasa menjaga kebersihan dan mengikut syarat ditetapkan.

“MBSA memohon penjaja di bazar Ramadan sentiasa mematuhi syarat dan peraturan selain menjaga kebersihan makanan dan minuman yang dijual,” katanya.


Pengarang :