Petugas Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), WWF-Malaysia, Pertubuhan Pemuda Gema Malaysia, Briged Sukarelawan UiTM serta Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Shah Alam ketika menjalankan Program MBSA MySave Food @ Bazar Ramadhan. Foto Facebook MBSA
PBTSELANGOR

MBSA kutip lebih dua tan lebihan makanan sepanjang Ramadan

SHAH ALAM, 28 APRIL: Sebanyak 2,294.4 kilogram (kg) lebihan makanan bazar Ramadan dikutip Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dari 4 hingga 21 April lalu.

Pihak berkuasa tempatan itu berkata jumlah itu termasuk makanan sebanyak 1,268.9kg manakala minuman 1,025.5kg daripada tiga bazar di Seksyen 19, Sri Muda Seksyen 25 dan Subang Bestari Seksyen U5.

“Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MBSA dengan kerjasama WWF-Malaysia, Pertubuhan Pemuda Gema Malaysia, Briged Sukarelawan UiTM serta Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Shah Alam menjalankan Program MBSA MySave Food @ Bazar Ramadhan.

“Tujuan program ini dijalankan bagi mengelak pembaziran makanan sekali gus mengurangkan sisa makanan yang dihantar terus ke tapak pelupusan,” katanya di Facebook.

Pada 18 April lalu, MBSA berkata pihaknya berjaya menyelamatkan 1,898.8 kg lebihan makanan di tiga bazar terbabit daripada dibuang ke tapak pelupusan sampah.

Tambahnya, lebihan makanan yang tidak habis dijual oleh peniaga bazar akan dikumpul setiap hari dan diagihkan secara percuma ke beberapa lokasi menerusi program MBSA MYsave Food @ Bazar Ramadan.


Pengarang :