Datuk Bandar Subang Jaya, Dato’ Johary Anuar (tengah) bergambar bersama kanak-kanak autisme selepas merasmikan Taman Permainan Inklusif sempena Hari Autisme Sedunia di Taman Reakrasi USJ 11, Subang Jaya pada 22 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSJ bina tiga taman permainan inklusif bagi kemudahan kanak-kanak OKU

SUBANG JAYA, 22 APRIL: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menyediakan tiga taman permainan inklusif khusus untuk kemudahan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU).

Datuk Bandar Dato’ Johary Anuar berkata tiga taman permainan inklusif itu dibina di Taman Awam USJ 11/5, Jalan PP 22 Pinggiran Putra dan Jalan Tempua 9, Puchong Jaya melibatkan kos RM180,000.

“Ia adalah taman permainan inklusif pertama oleh MBSJ dan kami memilih taman awam bersaiz besar kerana ia memerlukan ruang lebih luas supaya kanak-kanak khususnya OKU boleh ditemani penjaga, selain memudahkan mereka yang berkerusi roda.

“Pembinaan taman permainan ini adalah antara usaha MBSJ bagi memastikan golongan OKU dapat menikmati kemudahan di kawasan rekreasi,” katanya.

Kanak-kanak autisme bersama penjaga mereka selepas majlis perasmian Taman Permainan Inklusif sempena Hari Autisme Sedunia di Taman Reakrasi USJ 11, Subang Jaya pada 22 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Taman Permainan Inklusif USJ 11/5 sempena sambutan Hari Autisme Sedunia MBSJ 2022.

Tambah Johary, pembinaan taman itu adalah komitmen MBSJ bagi mendokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3 Kesihatan Baik dan Kesejahteraan dan SDG 11 Bandar dan Masyarakat yang Mampan.

“Kita bercadang menambah dua lagi taman permainan inklusif tahun ini iaitu di Puchong dan Seri Kembangan.

“Selain itu, kita akan terus memantau taman permainan ini supaya ia sentiasa dalam keadaan baik dan meminta kerjasama masyarakat setempat supaya golongan OKU dapat terus menikmati kemudahan disediakan,” katanya.


Pengarang :