Selangorkini
Operasi bersepadu oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ke atas premis perniagaan di sekitar Pangsapuri Angsana pada 26 April 2022. Foto ihsan MBSJ
AGENDA BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSJ keluar notis kompaun, penutupan premis perniagaan gagal patuhi peraturan

SHAH ALAM, 28 APRIL: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengeluarkan 26 notis tawaran kompaun dan empat tindakan penutupan kedai terhadap premis perniagaan yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MBSJ berkata kesemua notis itu dikeluarkan dalam operasi penguatkuasaan bersepadu bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kelmarin.

“Operasi bersepadu bersama KPDNHEP itu diadakan di sekitar Pangsapuri Angsana USJ 1, Subang Jaya selepas menerima aduan mengenai premis perniagaan yang disyaki dikendalikan oleh warga asing.

“Ia bermula pada jam 3.30 petang hingga 5 petang dan disertai 39 pegawai MBSJ serta 11 anggota penguatkuasa KPDNHEP bagi memeriksa beberapa premis perniagaan seperti kedai runcit, kedai gunting rambut, kedai menjual arak secara haram serta makanan yang sudah tamat tempoh,” kata Azfarizal Abdul Rashid dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi itu turut disertai Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar dan Timbalan Datuk Bandar Subang Jaya, Mohd Zulkurnain Che Ali.

Menurut Azfarizal, lima premis dikenakan kompaun kerana gagal diselenggara dengan baik, melanggar syarat lesen perniagaan (13), mempamerkan iklan tanpa lesen sah dari MBSJ (3), premis tidak mematuhi syarat lesen (1) dan meletakkan barang jualan di tempat awam (4).

Selain itu, katanya, KPDNHEP turut mengeluarkan kompaun serta-merta bernilai RM300 terhadap seorang pemilik kedai runcit kerana gagal menggunakan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal iaitu telur ayam gred A, B, C mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.


Pengarang :