Dua pekerja stesen minyak Shell di Skudai, Johor menampal notis yang dikeluar kerajaan Malaysia melarang semua kenderaan termasuk motosikal yang bernombor pendaftaran asing membeli minyak petrol RON95 pada 6 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: 18 aduan isi petrol RON95 diterima sejak 1 Januari

JOHOR BAHRU, 28 APRIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima 18 aduan berhubung aktiviti pengisian petrol bersubsidi RON95 melibatkan kenderaan berpendaftaran asing sejak 1 Januari hingga semalam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kesemua kes itu dilaporkan berlaku di Johor dan daripada jumlah tersebut, sembilan kertas siasatan telah dibuka selain pengusaha stesen minyak terlibat sudah dipanggil untuk memberi keterangan.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan kita belum ada lagi cadangan untuk mengenakan tindakan kepada individu warganegara asing yang mengisi petrol RON95 (melibatkan kenderaan mereka yang berpendaftaran asing) dan aduan ini hanya melibatkan Johor, negeri-negeri lain bersempadan dengan negara asing belum lagi diterima.

“Sebab itu kita menggalakkan pengusaha stesen minyak meletakkan tanda tertentu, apatah lagi musim perayaan semakin hampir pastinya ramai warganegara asing khususnya dari Singapura akan datang ke sini kerana denda tetap tidak dikenakan kepada pelaku, namun kita berharap warganegara asing ada disiplin diri kerana kita memang mengalu-alukan mereka datang ke mari,” katanya pada sidang media selepas melawat stesen minyak Petronas di sini hari ini.

Larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran negara asing sudah dilaksanakan sejak 1 Oktober 2020 bagi memastikan subsidi petrol yang diberikan hanya untuk rakyat Malaysia, namun kenderaan bernombor pendaftaran asing dibenarkan membeli petrol RON97 tanpa had dengan syarat dimasukkan terus ke tangki kenderaan.

Sementara itu, Nanta berkata kerajaan melalui Mesyuarat Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini bersetuju supaya tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa (HRP) 2022 yang berkuat kuasa Selasa lepas dilanjutkan empat hari hingga 10 Mei berbanding pengumuman sebelum ini iaitu hingga 6 Mei.

Beliau berkata menerusi mesyuarat itu juga, kerajaan bersetuju mengekalkan harga runcit maksimum ayam standard RM8.90 sekilogram hingga 5 Jun ini.

“Oleh kerana ada kenaikan kos kerajaan juga bersetuju untuk menambahkan subsidi menampung kos supaya harga runcit ini kekal, bagaimanapun saya tidak boleh menjelaskan berapa penambahan subsidi tersebut, secara prinsipnya harga ini akan dikekalkan (hingga 5 Jun) itu yang penting,” katanya.

Kerajaan menerusi NACCOL, memutuskan harga runcit maksimum ayam standard dikurangkan sebanyak 20 sen kepada RM8.90 sekilogram, daripada harga siling RM9.10 yang ditetapkan bermula 5 Februari hingga 5 Jun.

Dalam satu kenyataan, Nanta berkata berdasarkan statistik Op Pantau yang dilancarkan pada 3 April hingga Selasa lepas, sebanyak 89,674 premis diperiksa di seluruh negara dan daripada jumlah itu, sebanyak 631 aduan diterima selain 463 kertas siasatan telah dibuka atas pelbagai kesalahan, manakala sebanyak RM123,900 kompaun telah dikeluarkan kepada peniaga terbabit.

Beliau berkata berdasarkan statistik penguatkuasaan SHMMP HRP 2022 sejak Selasa lepas, sebanyak 1,938 premis telah diperiksa di seluruh negara melibatkan 27 premis borong dan 1,911 premis runcit selain satu aduan dan satu kertas siasatan dibuka berkaitan kesalahan di bawah SHMMP HRP 2022 setakat semalam.

– BERNAMA

 

 


Pengarang :