Tahanan etnik Rohingya dibawa dari Depot Imigresen Sementara Relau Bandar untuk dipindahkan ke depot tahanan lain pada 20 April 2022. Foto BERNAMA.
AGENDANASIONAL

Menteri: 424 tahanan Rohingya lari ditangkap semula, 104 sedang diburu

SEPANG, 21 APRIL: Seramai 104 tahanan etnik Rohingya masih diburu selepas melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap semalam.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata setakat 7 malam tadi, 424 daripada 528 tahanan yang melarikan diri, sudah ditahan semula.

Hamzah berkata mereka merupakan tahanan tempoh yang lama iaitu lebih dua tahun kerana proses penghantaran tidak dapat dilakukan berikutan kerajaan Myanmar tidak menerima dan mengiktiraf status kerakyatan mereka.

“Kalau nak menghantar balik, nak hantar balik mana?  Ini jadi masalah kepada kita,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penerapan nilai-nilai murni di sini hari ini.

Dalam kejadian awal pagi semalam, seramai 528 tahanan etnik Rohingya meloloskan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap dan enam daripada mereka maut dilanggar kenderaan semasa melintasi jalan di Kilometer 168 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Jawi, Nibong Tebal.

Dalam perkembangan lain, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) menafikan  gabungan itu mengadakan perbincangan untuk menjatuhkan beberapa pemimpin politik.

Hamzah berkata pertemuan antara pemimpin politik dalam PN adalah perkara biasa.

“Dia (Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) datang jumpa saya betul ada sebab, dalam PN pun sudah tentu kita jumpa rakan-rakan kita terutama nak bincang post-mortem pilihan raya dan sebagainya.

“Jadi, saya sebenarnya kalau orang tanya saya betul ke PN mesyuarat nak jatuhkan sesiapa? Betul lah (Ahmad Samsuri) kata itu (dokumen) ‘sampah’ kerana tidak ada langsung perbincangan,” katanya.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu sebelum ini menegaskan dokumen yang tular menerusi media sosial baru-baru ini sebagai palsu dan ‘sampah’ serta ia direka pihak tertentu bagi mencemarkan imej PAS.

Media melaporkan antara kandungan dalam dokumen itu menyebut beberapa pelan atau gerak kerja untuk menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional.

— BERNAMA

 


Pengarang :