Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor (DNS) Keempat Belas Tahun 2022 di Bangunan Annex pada 14 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Menteri, Jakim tiada hak beri kenyataan keputusan fatwa, MKI

SHAH ALAM, 9 APRIL: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tiada hak mengeluarkan apa-apa kenyataan yang diputuskan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Pengerusinya Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah sebarang kenyataan adalah di bawah bidang kuasa pengerusi jawatankuasa berkenaan dan Majlis Raja-Raja.

“Menteri (Hal Ehwal Agama) dan timbalannya bukan ahli MKI mahupun ahli Jawatankuasa Muzakarah, justeru mereka tidak boleh mencampuri apa-apa keputusan Jawatankuasa Muzakarah dan MKI.

“Jakim hanya bertindak sebagai urusetia kepada Jawatankuasa Muzakarah dan MKI,” titah Baginda dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Jakim dilaporkan mengesahkan Tarekat Naqsyabandiah Al-Aliyyah Sheikh Nazim al-Haqqani bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Jabatan itu menerusi kenyataan berkata tarekat tersebut didapati menyeleweng daripada ajaran Islam oleh MKI kali ke-48 pada 3 April 2000.

Berhubung isu tarekat terbabit, Baginda yang juga Sultan Selangor bertitah keputusan muzakarah telah mendapat perkenan sembah maklum Majlis Raja-Raja pada 4 Januari tahun lalu.

“Butiran penuh keputusan muzakarah ini boleh dirujuk menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh pengerusi Jawatankuasa Muzakarah pada 8 April 2022,” titah Baginda.

 


Pengarang :