Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor (DNS) Keempat Belas Tahun 2022 di Bangunan Annex pada 14 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

MKI: Ketua Pengarah Jakim junjung titah Sultan Selangor

PUTRAJAYA, 9 APRIL: Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Datuk Hakimah Mohd Yusoff menjunjung titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa agensi itu tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

Hakimah berkata beliau selaku Setiausaha MKI mengambil maklum titah Sultan Sharafuddin sebagai Pengerusi MKI melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh baginda hari ini.

“Jakim selaku Sekretariat MKI akan sentiasa mematuhi peraturan MKI yang telah ditetapkan dan arahan dari semasa ke semasa Pengerusi MKI,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin bertitah sebarang kenyataan berhubung keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa itu adalah di bawah bidang kuasa Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, MKI dan Majlis Raja-Raja.

Baginda bertitah Jakim hanya bertindak sebagai urus setia kepada Jawatankuasa Muzakarah dan MKI.

Hakimah dalam kenyataannya turut merafak sembah menjunjung kasih atas keprihatinan Sultan Selangor terhadap tatakelola pentadbiran MKI.

– BERNAMA

 


Pengarang :