Kakitangan Majlis Perbandaran Kajang memadamkan kebakaran di tapak pembuangan sampah haram di Sungai Tangkas. Foto Facebook MPKj
PBTSELANGOR

MPKj tutup tapak pembuangan sampah haram di Sungai Tangkas

SHAH ALAM, 24 APRIL: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menutup tapak pembuangan sampah haram selepas menerima laporan pembakaran terbuka di Taman Universiti Sungai Tangkas di Semenyih.

Menurut MPKj, susulan laporan itu kakitangan unit alam sekitar dan unit jentera dikerah untuk memadamkan kebakaran, sementara menunggu ketibaan kontraktor dilantik untuk operasi pembersihan dan penutupan tapak berkenaan.

“MPKj menjalankan siasatan selepas menerima laporan pembakaran terbuka daripada ahli majlis zon 18, Nasar Khan Mirbas Khan pada Khamis lalu.

“Hasil siasatan di lokasi kejadian di Taman Universiti Sungai Tangkas mendapati pembakaran itu mengakibatkan kepulan asap yang merebak ke kawasan sekitar,” kata MPKj di Facebook.

Katanya, selepas mendapat kebenaran Yang Dipertua MPKj, operasi pembersihan dan penutupan tapak lokasi dilakukan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan penduduk di kawasan sekitar.

“Operasi pembersihan dan penutupan tamat pada 23 April di bawah pemantauan unit siasatan dan penguatkuasaan serta unit alam sekitar,” katanya.


Pengarang :