Proses melihat anak bulan Syawal bagi menentu hari raya Aidilfitri selepas diperkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja. Foto Jabatan Mufti Negeri Selangor
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Mufti terang kaedah lihat anak bulan, teknologi baharu cerapan

Melihat anak bulan antara kaedah untuk memastikan tarikh permulaan puasa dan raya untuk umat Islam di negara ini. Anak bulan boleh dilihat pada hari rukyah (kebolehnampakan) yang ditetapkan setiap 29 hari bulan hijrah pada waktu matahari belum terbenam.

Menjelang sambutan Aidilfitri, wartawan Mustakim Ramli menemu bual Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir bagi mengupas sejarah, kepentingan dan kegiatan berkaitan melihat anak bulan di negeri ini.

Sejak bilakah aktiviti melihat anak bulan Ramadan dan Syawal di Selangor? Di manakah lokasinya?

Cerapan anak bulan pertama kali bagi menetapkan permulaan puasa seluruh negara pada 7 Oktober 1972 bersamaan 29 Syaaban 1392 di Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan. Bermula saat itu, pengisytiharan permulaan Ramadan, Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha dibuat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui radio dan televisyen setelah diperkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Namun, tiada catatan yang jelas bilakah cerapan hilal (bulan sabit) yang pertama di Selangor. Dipercayai, cerapan pertama di negeri ini adalah bagi menentukan awal bulan Ramadan awal tahun 1970-an bagi melaksanakan arahan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja di Baitulhilal Bukit Malawati mengguna pakai peralatan teodolit milik Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia Negeri Selangor.

Lokasi awal bagi aktiviti cerapan hilal di Selangor antaranya Baitulhilal Bukit Malawati, Kuala Selangor, Pulau Angsa Kuala Selangor dan Baitulhilal Bukit Jugra Kuala Langat. Kebanyakan lokasi asalnya hanya meliputi kawasan tanah tinggi, ufuk menghadap laut iaitu tiada halangan untuk pandangan ufuk dan menghadap arah mata angin sebelah barat serta tiada bangunan khusus.

Namun, bermula 2001, Jabatan Mufti Negeri Selangor menaik taraf semua lokasi baitulhilal kepada tapak cerapan lebih baik dan kondusif. Pada 2012, Baitulhilal Pulau Angsa secara rasminya ditutup bagi aktiviti cerapan atas faktor kos penyelenggaraan.

Selangor mencatatkan sejarah apabila terbinanya Balai Cerap Selangor di Sabak Bernam sebagai pusat penyelidikan ilmu falak yang baharu. Balai ini berfungsi sebagai pusat pengembangan ilmu falak dan astronomi termasuk cerapan yang dilaksanakan setiap bulan. Balai Cerap secara rasminya dibina pada 2009 dan beroperasi sepenuhnya pada 2010 seterusnya dirasmikan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada 2012.

Bilangan tempat cerapan di Selangor yang banyak sebagai keperluan bagi mendapatkan data cerapan hilal di lokasi ufuk berbeza meliputi utara, pertengahan dan selatan Selangor. Selain itu, kerana kedudukannya yang strategik menghadap ufuk barat iaitu tempat terbenamnya matahari dan bulan dan tiada halangan pada pandangan ufuk cerapan serta kurangnya pencemaran cahaya. Setakat ini, Selangor tiada rancangan untuk menambah lokasi baharu.

Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir ketika ditemu bual Media Selangor di Jabatan Agama Islam Selangor, Shah Alam pada 12 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Mengapa proses cerapan perlu dalam menentukan tarikh mula berpuasa dan hari raya?

Antara asas pelaksanaan cerapan awal Ramadan dan Syawal dari sudut syarak, ia merujuk kepada panduan yang diterangkan Allah SWT dan junjungan besar Nabi Muhammad kepada kita iaitu al-Quran dan Sunnah. Proses cerapan ini satu kewajipan fardu kifayah yang mesti dilakukan pemerintah dan dilakukan sehingga kini secara berterusan. Bukan sahaja cerapan hilal Ramadan dan Syawal tetapi melibatkan semua bulan-bulan hijrah yang lain. Ketika ini, terdapat tiga lokasi cerapan hilal di Selangor iaitu Baitulhilal Bukit di Malawati, Baitulhilal Bukit Jugra dan Balai Cerap Selangor.

Bagaimana proses cerapan dijalankan dan apakah jenis peralatan yang digunakan?

Proses cerapan hilal dilakukan bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia Negeri Selangor. Cerapan ini menggunakan beberapa peralatan termasuk teodolit, teleskop dan binokular. Ia peralatan yang seragam digunakan di semua negeri di Malaysia. Kos keseluruhan peralatan bagi proses cerapan hilal sekitar RM10,000 hingga RM50,000. Bagaimanapun, kemudahan peralatan di Balai Cerap Selangor lebih canggih dalam penjejakan hilal yang terletak dalam satu kubah cerapan.

Tarikh, lokasi dan waktu perlaksanaan cerapan hilal ini ditentukan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Namun, pewartaan satu-satu tempat cerapan hilal di Selangor dibuat selepas dipersetujui Majlis Agama Islam Selangor dengan perkenan Sultan Selangor dan diperakui sah oleh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Mengapa Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra Banting, Kuala Langat dan Balai Cerap Selangor di Sabak Bernam dipilih sebagai lokasi?

Lokasi tersebut dipilih berdasarkan kesesuaiannya. Antara faktor penting, tiada sesuatu yang menghalang pandangan pencerap di ufuk barat antara azimut 230 darjah hingga azimut 300 darjah. Selain itu, faktor taburan awan diambil kira selain ketinggian kedudukan bangunan di bukit juga satu kelebihan disebabkan objek hilal akan terbenam lebih lewat berbanding di tanah rata. Pada masa kini, faktor pencemaran cahaya juga diambil kira dalam pemilihan sebuah balai cerap kerana ia boleh mengganggu pengambilan data.

Setakat ini, tiada keperluan untuk membina satu lagi balai cerap di Selangor. Namun, bangunan sedia ada akan ditambah baik bagi memenuhi keperluan dan kajian. Jabatan Mufti Negeri Selangor menerima peruntukan Kerajaan Negeri berjumlah RM1.57 juta bagi membina bangunan tambahan di Balai Cerap. Pembinaan bangunan baru akan menyediakan ruang selesa, kemudahan kepada pelawat dan penyelidik sebagaimana harapan Jabatan Mufti Negeri Selangor untuk menjadikan Balai Cerap Selangor sebagai lokasi pendidikan falak, pelancongan dan penyelidikan.

Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir turut terlibat dalam proses melihat anak bulan. Foto Jabatan Mufti Negeri Selangor

Adakah ada perancangan bagi menarik minat orang ramai melihat proses ini?

Jabatan Mufti Negeri Selangor sentiasa menerima mana-mana pihak yang ingin hadir melawat, melakukan cerapan bersama-sama dan membuat kajian menggunakan peralatan sedia ada khususnya di Balai Cerap Selangor. Balai itu ada kemudahan tempat lawatan, pendidikan falak dan pusat kajian.

Pada cerapan bulan-bulan tertentu, Jabatan Mufti Negeri Selangor juga membuat cerapan secara langsung, bukan sahaja melihat anak bulan tetapi juga fenomena langit seperti bulan purnama, gerhana bulan dan gerhana matahari. Antaranya membuat cerapan hilal Muharam 1443 bersama rakan penyelidik di Balai Cerap Boscha, Institut Teknologi Bandung. Bahagian Falak Jabatan Mufti Negeri Selangor juga sentiasa membuat pelbagai aktiviti bagi mempromosi kepentingan dan perkembangan ilmu falak melalui program turun padang, program dalam talian, kursus falak, program pendidikan peringkat sekolah dan universiti serta pelbagai aktiviti peringkat komuniti masyarakat.

Berapakah kos penyelenggaraan lokasi melihat anak bulan dan penyelenggaran alatan untuk melihat anak bulan?

Jabatan Mufti Negeri Selangor memperuntuk RM150,000 setahun bagi menampung kos penyelenggaraan termasuk keceriaan dan kebersihan, keselamatan, penyelenggaraan bangunan dan penyelenggaraan peralatan. Bagi penyelenggaraan peralatan, anggaran kos antara RM10,000 hingga RM20,000, bergantung kepada keperluan semasa. Semua kos termasuk perbelanjaan Majlis Cerapan Rasmi Hilal Ramadan, Syawal dan Zulhijjah serta majlis cerapan hilal bulanan melibatkan peruntukan Kerajaan Negeri.

Adakah ada teknologi lebih canggih untuk melihat anak bulan yang diguna pakai di negara lain? Apakah ia akan diguna pakai di Malaysia kelak?

Terdapat kaedah baru dalam proses cerapan hilal iaitu penggunaan teleskop yang dihubungkan dengan kamera ‘Charge Couple Device ‘ (CCD) yang lebih peka dalam mengesan cahaya hilal. Juga penggunaan teleskop radio yang dapat menentu kedudukan hilal secara tepat melalui gelombang radio berbanding kaedah semasa berdasarkan konsep visual.

Penggunaan CCD dan teleskop radio ini mungkin tidak dapat dilihat dengan mata tapi dapat dibuktikan kewujudannya. Bagaimanapun, setiap teknik cerapan perlu disahkan kebolehgunaannya menurut syarak dan disabitkan kenampakannya.

Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir menunjukkan carta tarikh dan waktu yang sesuai bagi melihat anak bulan pada kalendar mufti ketika ditemu bual Media Selangor di Jabatan Agama Islam Selangor, Shah Alam pada 12 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Apakah yang rakyat perlu tahu mengenai proses melihat anak bulan? Apakah signifikannya pada zaman moden? Mengapa kaedah cerapan atau rukyah masih penting berbanding cara hisab falak?

Melihat anak bulan adalah fardu kifayah. Perlu satu pihak bertanggungjawab melihat hilal pada hari rukyah bagi menentukan kenampakan atau ketidaknampakan pada hari tersebut. Walaupun hisab falak dapat menghitung kedudukan hilal secara tepat tetapi syarak menetapkan cerapan hendaklah dilakukan. Rukayah dengan mata bersifat qatie berbanding hitungan yang bersifat zanni.

(NOTA EDITOR: Qatie bermaksud tepat yang tidak boleh diragui manakala zanni bermakna andaian atau sangkaan)

Di Malaysia, kaedah untuk menentukan awal bulan hijrah ketika mencerap hilal adalah kaedah Imkanur (kedudukan) Rukyah. Kaedah ini meliputi gabungan kedua-dua kaedah iaitu rukyah dan hisab. Melalui Imkanur Rukyah, hilal dianggap boleh kelihatan apabila memenuhi syarat-syarat berikut iaitu ketika matahari terbenam ketinggian bulan tidak kurang dari tiga darjah dan jarak lengkung bulan ke matahari tidak kurang dari 6.4 darjah.

Jika syarat kriteria dipenuhi ketika hari cerapan 29 hari bulan hijrah, maka keesokan harinya dikira 1 haribulan hijrah. Jika tidak memenuhi syarat, maka keesokan hari dikira 30 haribulan hijrah. Namun, bagi bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah tetap tertakluk kepada pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.


Pengarang :