BUDAYARENCANA

Naskhah: Bouffe

Kita akan menulis semula naskhah ini

yang telah lama mengakrabi semua aksara sedih

dan melihat jenaka sebagai kenalan jauh

kita akan menulis semula naskhah ini

yang sekian lama membesarkan watak pengecut

tetapi megah dengan sederet gelar

yang sekian lama memadam watak ingkar

dan tidak bersetuju dengan naratif besar

naskhah ini adalah cerita si gila yang dibuang keluarga

si patah hati yang karyanya dirompak

atau si bayang-bayang, penyimpan rahsia hitam

kita akan mengalirkan huruf-huruf terpilih

ke sungai naratif paling lucu

akan kita buang hero yang diromantiskan perjuangan sedih

yang memadatkan profilnya dalam satu perenggan palsu

kita akan menulis semula naskhah ini

mempersembahkan draf akhir yang paling bersih

paling jenaka

paling celaka.

 

Raihani Mohd Saaid


Pengarang :