Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau lokasi kejadian runtuhan tanah di Taman Bukit Permai 2, Ampang pada 11 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Negeri agih lebih RM40 juta baiki cerun, struktur pangsapuri mendap

SHAH ALAM, 10 APRIL: Lebih RM40 juta diperuntuk Kerajaan Selangor bagi menyelesaikan isu bencana alam secara konstruktif membabitkan beberapa kawasan di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata agihan meliputi RM25 juta untuk membaiki struktur Pangsapuri Indah Ria, Shah Alam yang mendap dan retak teruk kesan banjir tahun lalu.

Beliau menjelaskan sebanyak RM14 juta turut diperuntuk untuk menguruskan kerja-kerja membaik pulih cerun oleh Majlis Perbandaran Selayang.

“Buat mangsa tanah runtuh di Bukit Permai, sumbangan bernilai RM1.6 juta akan diberikan dengan RM138,000 berupa bantuan mangsa.

“Tidak dilupa, RM1.4 juta akan diguna untuk membaiki cerun-cerun Pangsapuri Intan, Bukit Permai dan Ampang. Dari masa ke masa, isu ini kekal menjadi fokus,” katanya di Facebook.

Penghuni Pangsapuri Indah Ria di Batu Tiga ditempatkan di pusat penempatan sementara sejak 19 Disember tahun lalu susulan struktur bangunan yang membimbangkan.

Sementara pada 10 Mac lalu, insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang meragut empat nyawa dan seorang cedera ringan, selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

Sebelum ini, EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim memaklumkan lebih 150 cerun berisiko tinggi untuk runtuh terutama sekitar Gombak, Ampang dan Hulu Langat akibat air hujan melampau.

Foto Facebook Amirudin Shari

Pengarang :