PENDAPATRENCANA

Nikmati sajian berbuka di 12 hotel di Selangor, peluang menangi baucar

SHAH ALAM, 7 APRIL: Aktiviti berbuka puasa secara bufet di restoran dan hotel yang menghidangkan aneka sajian sering menjadi pilihan ramai menjelang Ramadan.

Tourism Selangor berkongsi 12 bufet hotel sekitar negeri ini untuk dicuba selain berpeluang memenangi baucar melalui Kempen Ramadan hingga 15 April.

Makluman pertandingan dalam kempen tersebut diumumkan melalui Facebook dan Twitter Tourism Selangor serta laman web Selangor.Travel.

Berikut senarai bufet hotel yang ditawarkan:

1. Cyberview Resort & Spa

Dari 3 April hingga 1 Mei 2022, penduduk Cyberjaya dan kawasan sekitarnya boleh menikmati bufet
Ramadan yang menawarkan pelbagai hidangan istimewa antaranya Nasi Dagang Kelantan, patin pais tempoyak, laksa, udang segar dengan cili mentega, asam pedas johor, kambing panggang madu, Mexican Bunuelos dan Zalabiyeh. Jangan lupa untuk cuba bufet Ramadan mereka dengan harga RM138 bagi dewasa dan RM 69 untuk kanak-kanak.

2. DoubleTree by Hilton Putrajaya Lakeside

Ayuh berbuka puasa bersama orang tersayang dengan menjamu selera di Makan Kitchen dari 3 April hingga 3 Mei di DoubleTree by Hilton Putrajaya Lakeside. Rasai warisan makanan Malaysia dengan 80 hidangan lazat mewakili 13 negeri. Anda juga berpeluang memenangi perjalanan menaiki belon udara yang indah untuk dua orang dengan tempahan bufet ini. Ayuh bersama-sama nikmati juadah “Jelajah Selera” mereka dengan harga RM178 (dewasa) dan RM89 (kanak-kanak), manakala kanak-kanak di bawah 5 tahun makan secara percuma.

3. Tenera Hotel

Menu istimewa bertemakan Balik Kampung menanti anda sekeluarga di Tenera Hotel dengan 40 gerai yang menghidangkan lebih 100 menu pilihan bermula 4 hingga 30 April ini. Hotel Tenera juga menyediakan promosi istimewa pada harga RM88 untuk dewasa pada 10 hari pertama Ramadan. Manakala bagi hari-hari berikutnya, harga untuk seorang dewasa adalah RM118 dan RM59 untuk kanak-kanak.

4. The Saujana Hotel

Raikan kebersamaan dengan orang tersayang dengan Bufet Ramadan “Cita Rasa dan Nostalgia” mereka yang menampilkan hidangan antarabangsa dan tempatan. Manjakan diri dalam keselesaan Bilik Grill Gaya Malaysia Charcoal bermula 2 hingga 30 April. Menu kambing panggang di sini pasti akan membangkitkan selera anda. Cuba sajian bufet mereka dengan hanya RM170 seorang dan diskaun 50 peratus untuk kanak-kanak.

5. Hotel UiTM Shah Alam

Citarasa Berbuka di Hotel UiTM Shah Alam menawarkan pelbagai menu yang ditentukan secara bergilir-gilir bagi sepanjang bulan ini. Sajian bufet di sini termasuk santapan tradisional, stesen masak secara langsung serta menu kegemaran Malaysia. Bermula dari 4 hingga 29 April, berbuka puasalah di sini dengan harga RM73 (dewasa), RM36 (kanak-kanak 4 hingga 11 tahun) dan RM63 bagi warga emas.

6. AVANTÉ Hotel

 

Marilah nikmati “Santapan Rasa Sayang” di AVANTÉ Hotel, Bandar Utama bermula 4 hingga 30 April. Hidangan yang ditawarkan seperti Daging Dendeng, Kari Kepala Ikan Utara, Ayam Masak Kicap Pedas, Labu Lemak Putih, Bubur Tradisional, makanan laut, Sushi, ‘Chocolate Fountain’, pencuci mulut dan banyak lagi. Harga adalah RM148 bagi dewasa dan RM74 bagi warga emas atau kanak-kanak.

7. Mardhiyyah Hotel & Suites

Raikan bulan Ramadan yang mulia ini dengan menikmati bufet Ramadan bermula dari 4 April hingga 1 Mei di Mardhiyyah Hotel & Suites. Bufet Warisan Bonda disajikan di sini menampilkan hidangan terbaik dari semua negeri di Malaysia termasuk hidangan antarabangsa. Buat tempahan sekarang dengan harga RM145 bagi dewasa, RM110 untuk warga emas dan RM90 kanak-kanak.

8. Palm Garden Hotel, Putrajaya, A Tribute Portfolio Hotel

Ramadan Kampunglicious kembali dibawakan oleh Palm Garden Hotel, Putrajaya, A Tribute Portfolio Hotel tahun ini. Kumpulkan keluarga dan rakan-rakan anda dan jamu mereka dengan cita rasa kampung halaman yang disediakan oleh cef eksekutif dan pasukan kulinari di sini. Pilihan menu antarabangsa juga turut ditawarkan. Semuanya mengenai kepelbagaian rasa yang memikat kerana hotel ini membawakan anda seleksi menu seperti kambing panggang, sate, kari sup dalam kawah, ayam golek dan banyak lagi. Bufet Ramadan Kampunglicious akan berlangsung bermula 4 April hingga 2 Mei
dengan harga RM98 bagi dewasa dan RM49 bagi kanak-kanak.

 

9. New World Petaling Jaya Hotel

Bulan puasa ini, New World Petaling Jaya Hotel menyajikan pelbagai hidangan tempatan dan antarabangsa dari Kambing Golek Shawarma, Nasi Ayam Hainan hinggaAyam Tandori dan Ais Krim Soft Serve, Ais Kacang, air krim Gelato & Sorbet dan banyak lagi. Manjakan diri dengan lebih 150 hidangan menerusi bufet Santapan Warisan dengan harga RM158 (dewasa) dan RM 79 (6 hingga 12 tahun) pada 4 hingga 7 April. Manakala harga pada 11 April hingga 26 April 2022 adalah RM98 (dewasa)
dan RM49 (6 hingga 12 tahun).

10. Première Hotel

Bulan Ramadan yang tiba diserikan lagi dengan keenakan berbuka puasa di Hotel Premiere bermula pada 4 hingga 30 April. Menampilkan tema Bufet Ramadan Warna Warni, ia menampilkan citarasa kampung serta menu makanan Melayu yang popular. Tambahan pula, Hotel Premiere menampilkan stesen memasak secara langsung untuk menu seperti Kuey Teow Goreng, Roti Canai, Pisang Goreng, Popiah Basah, Sate, Apam Balik, dan Murtabak. Dari 16 Mac hingga 3 April, harga bufet bagi tempahan awal ialah RM98 bagi dewasa. Manakala harga bufet biasa ialah RM 118 bagi dewasa dan RM78 untuk warga emas atau kanak-kanak.

11. Mövenpick Hotel and Convention Centre KLIA

Bufet Ramadan 1001 di Restoran Temasya, Hotel Mövenpick dan Pusat Konvensyen KLIA membawakan anda seribu satu rasa dan citarasa kulinari dengan sentuhan Arab yang bersesuaian dengan tema hotel. Menawarkan 1001 aroma dan rasa yang menggoda, ini adalah tempat yang sesuai untuk meraikan keluarga, kawan rapat dan mereka yang anda sayangi. Buat pertama kali, Chef Eksekutif dan pasukan kulinari telah memperkenalkan Ouzi Lamb dengan stok kambing yang pastinya menambah rasa. Bermula 5 April hingga 1 Mei, harga bufet adalah RM128 bagi dewasa dan RM88 bagi kanak-kanak.

12. Sheraton Petaling Jaya Hotel

Sheraton Petaling Jaya Hotel menjemput anda untuk “melancong” ke seluruh Malaysia dengan menikmati masakan Melayu warisan istimewa melalui dua bufet Ramadan bertema “Citarasa Rantau” di Feast dan “Santapan Iftar” di Ballroom Banquet. Setiap bufet menampilkan hidangan tempatan seperti Ayam Percik dari Kelantan, Rendang Daging Minang dari Negeri Sembilan, Sayur Paku Belacan dari Sarawak, serta pelbagai hidangan pencuci mulut yang menyelerakan. “Citarasa Rantau” bermula dari 3 April
hingga 2 Mei pada harga RM158 (dewasa) RM79 (kanak-kanak 5-11 tahun) manakala “Santapan Iftar” bermula dari 8 hingga 29 April pada harga RM118 (dewasa) dan RM59 (kanak-kanak 5-11 tahun).


Pengarang :