Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) Norita Mohd Sidek diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Orang Buta Malaysi George Thomas (kiri) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan di Brickfields, Kuala Lumpur pada 31 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

OKU penglihatan mangsa banjir hargai bantuan MBI

KUALA LUMPUR, 1 APR: Senyuman terukir pada wajah 17 orang kelainan upaya (OKU) penglihatan yang terkesan akibat banjir Disember lalu selepas menerima bantuan RM500 sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI semalam.

Seorang penerima R Subramaniam, 43, yang cacat penglihatan sejak lahir meluahkan rasa syukur selepas kesusahan dialaminya sekeluarga sejak tiga bulan lepas mendapat perhatian MBI dan Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB).

Subramaniam Ramiah

Menetap di Taman Sri Muda, Shah Alam, beliau yang turut berkhidmat sebagai penyambut tetamu di MAB, Brickfields sejak 16 tahun lalu berhasrat menggunakan wang tersebut untuk membeli peralatan rumah baharu.

“Tingkat bawah rumah saya habis ditenggelami air semasa kejadian itu sehingga mengakibatkan semua barangan rosak seperti mesin basuh, penghawa dingin, almari dan meja makan.

“Bantuan ini sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan untuk menggantikan peralatan tersebut yang digunakan setiap hari. Sumbangan diberikan amatlah dihargai,” katanya kepada Selangorkini.

Cheah Khai Hoong, 28, juga melahirkan rasa terharu atas keprihatinan MBI yang tidak meminggirkan golongan terbabit dalam aspek agihan bantuan.

Cheah Khai Hoong

“Beberapa hari selepas kejadian banjir, pihak MAB datang ke rumah saya bagi melihat keadaan semasa dan menemu ramah saya sebelum memaklumkan mereka akan memberi bantuan kepada saya.

“Jadi hari ini saya terima bantuan itu. Saya berterima kasih kepada pihak berkenaan kerana tidak melupakan individu kurang upaya seperti saya,” kata anak sulung daripada empat beradik sambil mendedahkan mengalami buta sejak berusia 14 tahun.


Pengarang :