Orang ramai membeli barangan keperluan asas menerusi program Jualan Prihatin Rakyat di pekarangan pusat khidmat masyarakat DUN Sekinchan pada 16 April 2022. Foto SHEEDA FATHIL/ SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Orang ramai akui barangan PKPS murah, mahu jualan mingguan diterus

SEKINCHAN, 17 APRIL: Rata-rata penduduk mengakui program jualan barangan asas anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) amat murah berbanding harga pasaran.

Yunus Yahya, 59, berkata beliau membeli empat ekor ayam dan dua papan telur serta beberapa barangan lain dan jumlah semuanya hanya bernilai di bawah RM50.

Yunus Yahya

“Murah sangat harga barang di sini, jika tempat lain belum tentu kita dapat harga seperti ini. Saya harap program seperti ini dapat diteruskan sekurang-kurangnya seminggu sekali.

“Saya turut mencadangkan Kerajaan Selangor dan PKPS dapat buat inisiatif seperti pemberian baucar kepada pelanggan yang membeli barangan pada harga lebih RM100,” katanya pada program Jualan Prihatin Rakyat di Sekinchan semalam.

Selain itu, Ang Meng En, 42, berharap jualan murah itu dapat dilaksanakan secara kerap dan pelanggan boleh membeli tanpa had.

Ang Meng En

“Harga di sini sangat murah, sangat bagus jika dibuat setiap minggu kerana ia amat membantu rakyat kurang berkemampuan untuk membeli barangan keperluan,” katanya.

Manakala, Junaida Mat Rashid, 45, turut berterima kasih kepada Kerajaan Selangor yang sentiasa cakna terhadap nasib rakyat dalam apa jua keadaan.

Junaida Mat Rashid

“Banyak manfaat Kerajaan Negeri bagi antaranya jualan murah, peduli sihat, kad Kasih Ibu Smart Selangor dan pelbagai lagi bagi memastikan rakyat terus terbela, terima kasih kerana menganjurkan program ini harap ia berterusan,” katanya.

Program Jualan Prihatin Rakyat dilancar pada 28 Februari lalu diadakan setiap hujung minggu di 64 kawasan di seluruh negeri bagi meringankan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

Sebanyak 10,000 ayam, 3,100 kilogram (kg) daging segar, 6,200 kg ikan kembung dan selayang serta 315,000 biji telur gred B dijual sepanjang program berkenaan.

Menerusi program itu, ayam standard dijual pada harga RM12 seekor, daging pejal segar (RM35 perkilogram), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM8 per pek).


Pengarang :