Orang ramai membeli pelbagai barangan keperluan pada program Jualan Prihatin Rakyat di pekarangan Dewan Orang Ramai Kampung Padang Jawa, Shah Alam pada 10 April 2022. Foto REMY ARIFIN SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Orang ramai saran program jualan murah diteruskan, beli tanpa had

SHAH ALAM, 11 APRIL: Orang ramai meminta program jualan barangan asas berkualiti pada harga murah diteruskan di seluruh negeri secara lebih kerap dengan pembelian tanpa had.

Zakaria Talib, 52, mengakui inisiatif Jualan Prihatin Rakyat kelolaan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) membantu meringankan beban rakyat terutama dalam mendepani cabaran kenaikan harga barang.

“Ramai yang bising dengan kenaikan harga barang sejak kebelakangan ini tetapi apabila PKPS tampil mengadakan program seperti ini ternyata ia memberi kelegaan terutama sepanjang Ramadan dan Syawal.

Zakaria Talib, 52. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Saya amat berharap pihak berkenaan dapat meneruskan program ini dengan memberi kelonggaran kepada pelanggan membeli barangan seperti ayam, telur, ikan dan daging dalam kuantiti banyak,” katanya ketika ditemui di Dewan Orang Ramai Kampung Padang Jawa di sini semalam.

Sementara itu, Mokhtar Omar, 56, memuji program berkenaan yang dilihat banyak membantu menjimatkan kos perbelanjaan orang awam khususnya keluarga berpendapatan rendah (B40).

“Sangat bagus jika dibuat setiap minggu kerana banyak menolong rakyat bawahan. Kalau hendak mengharapkan kedai dan pasar raya, memang mereka (rakyat) dikerjakan (dikenakan harga mahal),” katanya.

Mokhtar Omar, 56. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Program Jualan Prihatin Rakyat dilancar pada 28 Februari lalu diadakan setiap hujung minggu di 64 kawasan di seluruh negeri bagi meringankan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

Sebanyak 10,000 ayam, 3,100 kilogram (kg) daging segar, 6,200 kg ikan kembung dan selayang serta 315,000 biji telur gred B dijual sepanjang program berkenaan.

Menerusi program itu, ayam standard dijual pada harga RM12 seekor, daging pejal segar (RM35 perkilogram), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM8 per pek).


Pengarang :