Pengguna Nabila Husna Abd Halim, 27, menunjukkan aplikasi pembayaran parkir digital (e-kupon) ketika tinjauan di Taman TTDI Jaya, Shah Alam pada 1 April 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKIN
AGENDABERITA UTAMANASIONALSELANGOR

Parkir digital: Mudahkan urusan, tidak perlu beli kupon gores setiap PBT

SHAH ALAM, 1 APRIL: Orang ramai menyambut baik pelaksanaan penuh pembayaran parkir digital (e-kupon) yang dikuatkuasakan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor mulai hari ini..

Kakitangan swasta Nabila Husna Abd Halim, 27, berkata menerusi aplikasi Smart Selangor Parking (SSP), urusan pembayaran menjadi lebih cepat berbanding penggunaan kupon fizikal.

Nabila Husna Abd Halim. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Sekarang majoriti penduduk gunakan telefon pintar. Kalau guna kertas kupon dan terlupa bayar, kita kena patah balik ke kereta tapi e-kupon bolehkan kita terus buat bayaran.

“Bila dah muat turun SSP, pengguna tak perlu risau nak bayar parkir. Buka sahaja aplikasi terus buat bayaran. Sistem juga cepat,” katanya.

Juruteknik kilang Mohd Fhadil Jaiman, 50, berkata inisiatif tersebut banyak membantu menjimatkan masa bebranding kaedah sebelum ini yang memerlukan orang ramai membeli kupon mengikut pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kalau guna kupon, kadang-kadang kertas gores habis. Nak kena pusing-pusing cari ejen (jual kupon) jadi ambil masa lama. Ini boleh elak kena kompaun. Jadi guna e-kupon ini memang memudahkan,” katanya

Zaki Bilatenek. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sementara itu warga emas Zaki Bilatenek, 64, meminta PBT menempatkan kakitangan di kawasan parkir bagi membolehkan maklumat pelaksanaan e-kupon diketahui ramai.

“Ketika ini masih ada pengguna yang tidak memuat naik aplikasi, mungkin ada yang berdepan kesukaran membayar parkir pada masa akan datang.

“Ini penting terutama kepada orang tua atau individu yang tidak tahu guna teknologi. Jadi kakitangan PBT perlu ada sementara untuk ajar dan beri maklumat,” katanya.

Bermula hari ini Kerajaan Selangor menguatkuasakan pembayaran parking e-kupon. Aplikasi boleh dimuat turun di Google Playstore, Appstore atau Huawei store.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han memaklumkan pelaksanaan itu membantu Kerajaan Negeri mengesan lokasi tumpuan ramai sekali gus merancang pelbagai kemudahan pada masa depan.


Pengarang :