Datin Seri Masdiana menyerahkan sumbangan duit raya kepada salah seorang anak yatim dalam Program Nur Ramadan yang diadakan di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar pada 19 April 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
SELANGOR

Pekawanis rai NGO, anak yatim dan asnaf dalam majlis buka puasa

SHAH ALAM, 20 APRIL: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) meraikan 20 badan bukan kerajaan (NGO) dalam program berbuka puasa semalam.

Program Nur Ramadan yang berlangsung di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar itu turut meraikan 125 anak-anak yatim dan asnaf.

Yang Dipertuanya Datin Seri Masdiana Muhamad berkata program itu merupakan kali kedua dianjurkan dalam memberi penghargaan dan sumbangan NGO.

“NGO yang diraikan terdiri daripada pelbagai antaranya orang kurang upaya (OKU) dan pertanian yang aktif dan banyak menyumbang dalam komuniti.

“Ini adalah peluang untuk bertemu dan bermesra dengan NGO yang kita tidak pernah jumpa selain menghargai anak-anak yatim dan asnaf,” katanya yang turut memberi duit raya RM100 kepada golongan itu.

Sempena Aidilfitri ini, Masdiana menambah pihaknya memperuntuk RM4,000 kepada 50 Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk diserahkan kepada keluarga berpendapatan rendah (B40).

“Setiap DUN akan menerima RM3,000 untuk sumbangan dan RM1,000 pula untuk pembelian beg hadiah,” katanya.


Pengarang :