Ilustrasi tangkapan penjenayah. Grafik Media Selangor
AGENDAJENAYAH

Pelajar SPM antara dua ditahan terlibat sindiket jual lesen memandu

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: Seorang pelajar sekolah menengah yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini antara dua yang ditahan polis Sabtu lepas, kerana dipercayai terbabit sindiket penipuan menjual lesen memandu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur ACP Mohd Mahidisham Ishak berkata pelajar lelaki berusia 17 tahun dan seorang lagi lelaki berusia 22 tahun itu ditahan pada kira-kira 10 malam dalam serbuan di sebuah rumah sekitar Durian Tunggal, Melaka.

Beliau berkata pada 29 Mac lepas, mangsa telah melayari satu iklan di Facebook yang menawarkan perkhidmatan membuat lesen memandu tanpa melalui proses Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Pengadu kemudian menghubungi nombor yang tertera melalui aplikasi WhatsApp dan dalam urusan tersebut, mangsa telah dijanjikan lesen memandu dengan bayaran RM490,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, setelah bayaran dibuat suspek masih meminta bayaran tambahan dengan pelbagai alasan.

“Curiga dengan suspek, pengadu tampil membuat laporan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya yang memaklumkan sindiket tipu jual lesen memandu itu telah bergiat aktif sejak enam tahun lalu.

Mohd Mahidisham berkata kedua-dua supek berkenaan ditahan reman selama tiga hari sehingga esok untuk siasatan lanjut.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan lesen memandu menerusi cara yang betul dan sah di sisi undang-undang.

Katanya orang ramai juga diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585, CCID Scam Response Center di talian 03-2610 1559/1599, WhatsApp CID Infoline di talian 013-2111 222 dan semakmule.rmp.gov.my atau kunjungi mana-mana balai polis berdekatan jika mempunyai sebarang maklumat jenayah atau aktiviti yang mencurigakan.

– BERNAMA


Pengarang :