Pelajar hadir ke sekolah pada sesi persekolahan secara bersemuka mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan ketika tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara Labuan pada 18 Oktober 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pelitup muka wajib di ruang tertutup sekolah, tiada lagi penjarakan fizikal

SHAH ALAM, 28 APRIL: Pemakaian pelitup muka di ruang tertutup dalam kawasan sekolah kekal diwajibkan, kata menteri kanan pendidikan.

Datuk Dr Radzi Jidin berkata bagaimanapun kelonggaran tidak memakainya dibenarkan jika bersendirian.

“Kelonggaran membabitkan pemakaian pelitup muka juga kepada guru semasa mengajar di hadapan kelas dan semasa aktiviti sukan serta rekreasi termasuk aktiviti pendidikan jasmani.

“Kelonggaran juga diberikan kepada kanak-kanak berusia lima tahun dan ke bawah, individu keperluan khas dan yang mempunyai masalah pernafasan,” katanya.

Radzi berkata mereka yang mempunyai masalah pernafasan dan tidak digalak memakai pelitup muka perlu mengemukakan laporan perubatan.

Selain itu katanya penjarakan fizikal juga tidak ada lagi selepas ini susulan pengumuman Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), semalam.

“Selepas pengumuman KKM, kita membuat ketetapan bahawa tiada lagi penjarakan fizikal di dalam kelas dan sekolah, namun ia digalakkan dalam keadaan warga serta murid sekolah tidak memakai pelitup muka,” katanya.


Pengarang :