Selangorkini
Seorang anggota polis maut dalam kemalangan di Jenjarom, semalam.
AGENDA JENAYAH

Pemandu e-panggilan nyaris maut, leher dikelar penumpang enggan bayar tambang

KUALA LUMPUR 16 APRIL: Seorang pemandu e-panggilan nyaris maut akibat dikelar lehernya oleh seorang remaja perempuan di Jalan Kovil Hilir, Jalan Ipoh, di sini.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata kejadian pada 2.55 pagi itu, melibatkan penumpang berusia 16 tahun yang dikatakan enggan membayar tambang berjumlah RM400.

Hasil siasatan mendapati pemandu Grabcar berusia 63 tahun itu mengambil remaja terbabit di Sagil, Tangkak, Johor untuk ke Kovil Hilir, Jalan Ipoh, dengan menggunakan aplikasi Mycar setelah remaja itu bersetuju membayar tambang RM400.

“Setelah sampai ke destinasi, suspek enggan membayar kerana tidak mempunyai wang, dan mangsa membuat keputusan untuk menghantar suspek ke balai polis untuk tindakan selanjutnya.

“Oleh kerana takut, suspek bertindak mengelar leher mangsa menggunakan sebilah pisau lipat dan melarikan diri. Suspek juga meninggalkan pisau lipat yang digunakan di dalam kereta mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata pemandu Grabcar itu kemudian memandu menuju ke Balai Polis Sentul untuk meminta bantuan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dengan ambulans, bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Beh berkata bertindak atas siasatan dan risikan rapi, polis menahan remaja yang dipercayai terlibat dalam kes itu di sebuah premis perniagaan di hadapan Maybank Jinjang, pada pukul 4.55 petang ini.

“Suspek yang ditangkap tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan jenayah lampau. Polis turut merampas telefon bimbit milik suspek. Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan bersama-sama menjaga kesejahteraan serta keharmonian di Kuala Lumpur.

– BERNAMA


Pengarang :