AGENDANASIONAL

Pencemaran catat 0 ton, loji rawatan air dibersih sebelum diagih

SHAH ALAM, 30 APRIL: Pencemaran bau di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih berada pada tahap 0 ton setakat 4 petang tadi dan kini sedang dibersihkan sebelum diagihkan ke lokasi terjejas.

“Bekalan air bersih dan terawat dijangka akan dapat disalurkan secara berperingkat kepada pengguna bermula jam 12.30 pagi, 1 Mei,” kata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan.

Syarikat pembekal air tersebut menjelaskan pemulihan bagi 463 kawasan dalam lima wilayah agihan air dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui semua platform media sosial dan laman web.

“Bantuan alternatif melalui lori tangki telah digerakkan kepada pengguna dengan keutamaan kepada premis kritikal dan Air Selangor berusaha meminimumkan impak gangguan,” kata syarikat itu lagi.

LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas susulan pencemaran bau yang dikesan di muka sauk Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir jam 12.15 tengah hari tadi.

Berikutan itu, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah iaitu Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Senarai lengkap kawasan terjejas dimuatkan di Facebook Air Selangor.


Pengarang :