Orang ramai membeli barangan keperluan pada program Jualan Prihatin Rakyat di pekarangan Dewan Orang Ramai Kampung Padang Jawa, Shah Alam pada 10 April 2022. Foto REMY ARIFIN SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Penduduk manfaat cuti hujung minggu serbu jualan barangan asas murah

SHAH ALAM, 10 APRIL: Penganjuran kali kedua program jualan murah barangan asas di Kampung Padang Jawa di sini dimanfaatkan penduduk yang sebelum ini terpaksa pulang dengan tangan kosong.

Norlizawati Mad Noor, 40, bergegas ke Dewan Orang Ramai Kampung Padang Jawa sebaik mendapat maklumat program Jualan Prihatin Rakyat anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Menurut ibu empat anak itu, dia membelanjakan RM100 bagi membeli empat papan telur, dua ekor ayam termasuk ikan dan sayur-sayuran untuk bekalan selama sebulan.

Norlizawati Mad Noor

“Sebelum ini PKPS ada buat program sama di sekitar kampung ini, namun tidak sempat beli apa-apa memandangkan barang cepat habis walaupun pihak penganjur menambah beberapa kali stok.

“Lagipun ketika itu ramai orang beratur panjang. Alhamdulillah, hari ini saya berpeluang mendapat barangan basah pada harga yang sangat murah,” katanya yang berharap program itu diteruskan lagi.

Bagi Ruzita Sardzi, 44, penganjuran program pada hari minggu memberi peluang kepadanya membeli keperluan pada harga murah berikutan sebelum ini tidak dapat hadir atas tuntutan kerja.

“Ketua kampung maklumkan program ini dalam kumpulan WhatsApp, jadi saya terus datang bersama jiran. Nasib baik kali ini dibuat pada hari minggu dan kebetulan saya cuti.

Ruzita Sardzi

“Kami datang awal sebab risau cepat habis, jika tidak terpaksa ke pasar lain yang harganya mungkin lebih mahal. Program ini sangat bagus kerana dapat mengurangkan perbelanjaan penduduk,” katanya.

Program Jualan Prihatin Rakyat yang dilancar pada 28 Februari lalu diadakan setiap hujung minggu di 64 kawasan di seluruh negeri bagi meringankan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

Sebanyak 10,000 ayam, 3,100 kilogram(kg) daging segar, 6,200kg ikan kembung dan selayang serta 315,000 biji telur gred B turut dijual sepanjang program berkenaan.

Menerusi program itu, ayam standard dijual pada harga RM12 seekor, daging pejal segar (RM35 perkilogram), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM8 per pek).


Pengarang :