Ismail Ahmad memasak Mee Mamu pada hari pertama Ramadan di Bazar Ramadan PKNS, Shah Alam pada 3 April 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Pengunjung sanggup beratur panjang dapatkan ‘Mee Mamu’ 80 sen

SHAH ALAM, 4 APRIL: Sebuah gerai mi goreng di Bazar Ramadan Kompleks PKNS Shah Alam dekat sini dikerumuni orang ramai apabila pengusahanya menawarkan promosi pada harga serendah 80 sen.

Pengunjung sanggup beratur sepanjang kira-kira 50 meter bagi mendapatkan juadah itu selepas promosi sempena hari pertama Ramadan dihebahkan melalui Instagram Mee Mamu beberapa hari lalu.

Pengusaha, Ismail Ahmad, 40, berkata inisiatif itu dibuat mengambil kira peningkatan harga barangan di pasaran sejak kebelakangan ini sekali gus meringankan beban pembeli.

“Promosi hanya untuk hari ini sahaja manakala bermula esok sehingga akhir puasa, harga tersebut kembali kepada asal iaitu RM7 bagi mi goreng original dan mi goreng daging (RM10).

“Jadi kita berharap inisiatif ini sedikit sebanyak dapat menceriakan pengunjung yang datang ke bazar Ramadan kali ini,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Beliau yang mengusahakan perniagaan itu sejak 2019 berkata sebanyak 500 hidangan mi goreng disediakan dengan setiap pengunjung dihadkan lima pek.

Menurutnya, perniagaan sepanjang Ramadan di bazar terbabit dibantu empat orang pekerja.

“Pada bulan biasa, kita juga menyediakan juadah mi sotong dan ayam di gerai makanan yang terletak di Medan Selera, Seksyen 2, di sini,” katanya lagi.

Mee Mamu  dijual pada harga promosi 80 sen sebungkus  hanya pada hari pertama Ramadan di Bazar Ramadan PKNS, Shah Alam pada 3 April 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sementara itu, seorang pembeli Falah Za’aba, 30, berkata dia datang ke bazar berkenaan semata-mata mahu mendapatkan mi goreng.

“Saya ada lihat promosi di Instagram tiga hari lepas, oleh sebab itu saya datang ke bazar ini walaupun jarang ke bazar ini pada tahuh-tahun sebelumnya.

“Apatah lagi saya belum pernah mencuba mi goreng mamu dan ramai yang mengatakan ia sedap. Jadi, saya tidak kisah beratur panjang,” katanya.

Amirul Faiz Bakri, 33, pula pernah beberapa kali mencuba mi goreng tersebut tetapi tidak menyangka harga ditawarkan lebih rendah berbanding kebiasaan.

“Dua hari lepas saya lihat promosi di YouTube, cuma hanya dua jenis mi ditawarkan kali ini, berbanding empat jenis semasa dia (pengusaha) berniaga di Seksyen 2.

“Kebetulan bazar ini dekat dengan rumah, jadi saya tidak mahu melepaskan peluang ini. Sebaik sampai di bazar, saya terus cari gerai ini dan beratur hampir 45 minit,” katanya.


Pengarang :