Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengedarkan bubur lambuk dan kurma kepada peniaga Bazar Ramadan Selayang Baru, Gombak pada 9 April 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

Peniaga, pengunjung bazar Ramadan Selayang Baru terima bubur lambuk, kurma

GOMBAK, 9 APRIL: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini meluangkan masa meninjau keadaan peniaga di bazar Ramadan Selayang Baru di sini.

Beliau tiba di lokasi pada jam 5.10 petang dan mengimbas kod MySejahtera sebelum memasuki kawasan bazar yang menempatkan 90 peniaga.

Amirudin kemudiannya mengagihkan bubur lambuk dan kurma kepada peniaga serta pengunjung bazar Ramadan sambil dibantu Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Mohd Yazid Saidi dan Pegawai Daerah Gombak Nor Azlina Abdul Aziz

Amirudin yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua turut melayan permintaan peniaga dan pengunjung yang mahu berswafoto bersama beliau.

Peniaga tau fu fa, Normah Muhammad Abdullah

Peniaga tau fu fa Normah Muhammad Abdullah, 64, mengakui gembira kerana pemimpin negeri itu sudi melawat peniaga di bazar berkenaan.

“Jika beliau (Amirudin) datang ke bazar Ramadan di sini, beliau mesti akan singgah ke gerai saya. Saya gembira boleh jumpa sebab sudah lama tidak berjumpa.

“Malah, beliau sering tegur saya jika berjumpa di mana-mana. Hari ini beliau bertanya khabar dan tidak menyangka saya masih lagi berniaga di sini,” katanya yang mengusahakan perniagaan itu sejak 16 tahun lalu.

Peniaga ayam janda, Sharil Azreen Mustafa, 27, pula berkata lawatan Amirudin ke bazar tersebut membuktikan keprihatinan pemimpin negeri terhadap penjaja kecil.

Peniaga ayam janda, Sharil Azreen Mustafa

“Ia satu langkah yang bagus apabila beliau datang melawat dan mengambil berat keadaan peniaga kecil seperti saya yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang.

“Beliau sempat bertanyakan prestasi jualan dalam masa sehari. Alhamdulillah, saya memaklumkan perniagaan lebih baik berbanding tahun lepas apabila 40 hingga 60 ekor ayam terjual,” katanya.


Pengarang :