Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan piala kepada pemenang Liga Usahawan OKU Selangor-Say Lead Edisi Ketiga di Sunway Resort Hotel minggu lalu. Foto Facebook SAY
AGENDASELANGOR

Peniaga putu piring juara Liga Usahawan OKU Selangor Edisi Ketiga

SHAH ALAM, 5 APRIL: Peniaga putu piring yang juga orang kelainan upaya (OKU) fizikal, Yusairi Hafiz Tajuddin dipilih sebagai juara Liga Usahawan OKU Selangor (SAY LEAD) Edisi Ketiga minggu lalu.

Yusairi yang mengusahakan gerai Putu Piring Warisan Nenek di Medan Selera Pasar Moden Majlis Perbandaran Subang Jaya (MBSJ) membawa pulang piala, sijil dan layak peringkat seterusnya iaitu SAYLEAD+ selama setahun.

Beliau yang mengalami masalah urat saraf tangan dan kaki kanan memulakan perniagaan bermodalkan RM3,000 dan kini mampu menjana pendapatan RM30,000 sebulan.

Liga yang bertujuan mempromosi perniagaan golongan belia menerima tajaan Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan Negeri Selangor.

Pemenang liga ini juga akan diberikan bimbingan selama satu tahun bagi mengembangkan perniagaan masing-masing melalui akses pasaran baharu, digitalisasi dan pasaran eksport.

Sementara itu Selangor Youth Community (SAY) di Facebook memaklumkan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor berkenan menjadi juri pada program berkenaan.

Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan memilih tiga lagi pemenang termasuk penerima Anugerah Usahawan Harapan OKU iaitu Faizul Ahmad Zaki (Cuci Karpet Bukit Beruntung), Nooraihan Che Li (BNG Homeware Hub) dan A Linges Warry (Absolute Glam Global).

 


Pengarang :