Keadaan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menuju ke Kuala Lumpur dan Johor Bahru pada 24 Disember 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Perjalanan dijangka lebih panjang, Plus nasihat pengguna buat persiapan

KUALA LUMPUR, 26 APRIL: Plus Malaysia Berhad (Plus) menasihatkan orang ramai supaya membuat persiapan rapi dengan jangkaan tempoh perjalanan di lebuh raya lebih panjang terutama pada Sabtu dan Ahad ini serta 7 dan 8 Mei depan.

Pengarah Urusan Plus Datuk Azman Ismail berkata ia berikutan sebahagian besar pengguna lebuh raya dijangka merebut peluang menikmati faedah tol percuma dan menyusun jadual perjalanan balik kampung serta kembali semula ke ibu kota berdasarkan tarikh tol percuma tersebut.

“Bagi menguruskan lonjakan trafik ekoran pengumuman tol percuma oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, Plus juga menyatakan komitmennya untuk mengambil segala langkah yang munasabah untuk membantu orang ramai ketika berlakunya lonjakan trafik pada keempat-empat hari tersebut.

“Pihak Plus akan mengambil langkah yang sewajarnya dan kami telah mengatur pelbagai persediaan rapi melibatkan aspek perjalanan di lebuh raya, di plaza tol dan juga kawasan-kawasan rehat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, perdana menteri mengumumkan kerajaan bersetuju memberikan tol percuma dan diskaun tol kepada Keluarga Malaysia bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pemberian tol percuma itu adalah pada Sabtu dan Ahad ini serta 7 dan 8 Mei depan untuk perjalanan pulang semula ke kediaman masing-masing, melibatkan lebuh raya milik Kumpulan Plus Malaysia Berhad (Plus) menghubungkan jaringan Lebuhraya Utara-Selatan dan Anih Berhad (ANIH) yang menghubungkan Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Pemberian tol percuma itu akan bermula pada 12 tengah malam pada 30 April hingga 11.59 malam pada 1 Mei kepada semua kelas kenderaan manakala untuk perjalanan pada 7 Mei, ia bermula 12 tengah malam hingga 11.59 malam pada 8 Mei.

Selain itu, tawaran diskaun tol antara 30 dan 50 peratus juga akan diberikan kepada lebuh raya yang lain pada tarikh dan masa yang sama kepada semua kelas kenderaan.

Dalam pada itu, Plus menjelaskan bahawa pemberian tol percuma tersebut dilaksanakan di rangkaian lebuh rayanya yang menggunakan sistem tol tertutup dan akan dinikmati ketika pengguna melalui plaza tol keluar sepanjang tempoh yang ditetapkan.

Bagi membolehkan Plus merekodkan data trafik, pengguna yang memilih untuk menggunakan kad Touch ‘n Go masih perlu menyentuh kad mereka di lorong tol namun begitu, tiada bayaran tol akan dikenakan atau ditolak daripada kad tersebut.

“Sementara itu, pengguna yang memilih untuk menggunakan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) juga perlu memastikan mereka masuk dan keluar dari lebuh raya menggunakan lorong RFID sahaja dan sepertimana kad Touch ‘n Go serta SmartTAG, tiada bayaran tol dikenakan atau ditolak daripada eWallet mereka.

“Bagi pengguna kad Touch ‘n Go, mereka dinasihatkan supaya memeriksa status kad sebelum perjalanan dengan Touch ‘n Go Sdn Bhd di http://tngportal.touchngo.com.my/tngPortal/login bagi mengelakkan mereka terkandas di lorong tol yang mengakibatkan kesesakan jika menggunakan kad Touch ‘n Go yang tidak aktif dan telah dinyahaktif,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Azman turut menasihatkan orang ramai supaya mengikuti jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang telah dikeluarkan sebelum ini dan merancang perjalanan dengan teliti untuk mengurangkan kesesakan serta meningkatkan keselesaan ketika memandu dengan berhenti rehat bagi menyegarkan diri serta makan dan minum yang secukupnya.

Pelanggan lebuh raya juga disaran supaya memuat turun aplikasi PLUS untuk meninjau keadaan trafik terkini di lebuh raya menerusi paparan kamera litar tertutup (CCTV) yang disediakan selain digalakkan menggunakan Waze atau Google Maps untuk merancang perjalanan mereka sepanjang musim perayaan ini.

-BERNAMA


Pengarang :