Pasukan badminton lelaki negara muncul juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 selepas menewaskan Indonesia 3-0 dalam perlawanan akhir di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 20 Februari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Persiapan Piala Thomas dan Piala Uber, 25 pemain jalani latihan pusat

KUALA LUMPUR, 13 APRIL: Seramai 25 pemain dipanggil Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi menyertai kem latihan pusat selama sembilan hari di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara di sini bermula 15 hingga 23 April ini.

Menerusi kenyataan di laman rasmi Facebook persatuan itu, ia merupakan latihan persiapan skuad badminton negara bagi menghadapi saingan Piala Thomas serta Piala Uber yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand pada 8 hingga 15 Mei depan.

“Seramai 24 pemain merangkumi 12 atlet lelaki serta 12 atlet wanita akan dipilih untuk beraksi di kejohanan tersebut selain akan bertolak ke Bangkok pada 5 Mei.

“Tarikh 22 April merupakan tarikh akhir untuk senarai nama muktamad atlet dihantar kepada badan induk badminton, Persekutuan Badminton Dunia (BWF),” menurut kenyataan itu.

Pada Piala Thomas nanti, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama juara 2014 Jepun, England dan New Zealand manakala dalam Piala Uber, Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama naib juara 2018 Thailand, Denmark dan Mesir.

Berikut merupakan senarai nama atlet dipilih BAM untuk menyertai latihan pusat sempena saingan Piala Thomas dan Piala Uber:

Senarai pemain:

Piala Thomas – Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao, Ong Ken Yon, Liew Daren, Shaqeem Eiman, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Nur Izzuddin Rumsani, Goh Sze Fei, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi.

Piala Uber – S Kisona, Eoon Qi Xuan, Myisha Khairul, Tan Zhing Yi, Goh Jin Wei, Chan Wei Tse, Pearly Tan, M Thinaah, Anna Cheong, Teoh Mei Xing, Low Yeen Yuan dan Valeree Siow.

– BERNAMA

 

 


Pengarang :