Pasukan Selangor bergambar bersama Piala kejohanan Piala Sultan Selangor di Stadium Shah Alam. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Piala Sultan Selangor berprestij, gamit peminat bola sepak

Trofi Piala Sultan Selangor (TSSC) cukup istimewa buat peminat bola sepak tanah air. Dibeli sendiri Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 2003, trofi itu dikhaskan untuk pertandingan TSSC.

Melihat kepada hiasan awan larat dan bentuknya seakan-akan trofi Piala Malaysia, terdapat lambang Diraja Selangor beserta nama DYMM Sultan Selangor diukir indah pada badan trofi terbabit. Motif sedemikian pada trofi berwarna perak yang dibeli di England itu sememangnya menggambarkan prestij penganjuran TSSC saban tahun sejak 2001.

TSSC bermula dengan ‘The Regent of Selangor’s Cup’ ketika Baginda menjadi Raja Muda Selangor. Perlawanan yang mengimbau pelbagai nostalgia dua gergasi bola sepak itu ditukar menjadi TSSC apabila Sultan Sharafuddin dimasyhurkan sebagai DYMM Sultan Selangor pada 2003.

Trofi Piala Sultan Selangor (TSSC)

Trofi TSSC pada awalnya hanya bersaiz kecil warna perak dan diukir tubuh dua pemain merebut bola. Apabila penganjuran TSSC mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat, Sultan Sharafuddin berkenan membeli sendiri piala ‘silver sterling’ di England untuk dinamakan “The Sultan of Selangor’s Cup” manakala piala yang awalnya dijadikan ‘The Veteran’s Cup’.

Ilham pertandingan bola sepak itu dicetuskan Baginda sebagai mengingati pertembungan ‘el clasico’ antara Selangor dan Singapura sepanjang sejarah Piala Malaysia.

Pengerusi TSSC Tan Sri Abd Karim Munisar berkata penganjuran TSSC sentiasa dinantikan peminat bola sepak Selangor.

“TSSC mengingatkan kita kepada pemain-pemain legenda bola sepak negara yang dahulunya telah layak ke Sukan Olimpik pada 1972 dan 1980,” kata Abd Karim kepada Selangorkini.

Sultan Sharafuddin berkenan melantik Abd Karim sebagai pengerusi dan pengurus pasukan TSSC mulai 2004 sehingga kini. Mengetuai jawatankuasa penganjur hampir 18 tahun, beliau mengakui bukan mudah untuk memastikan kejayaan kecemerlangan penganjuran TSSC setiap tahun terutama dalam aspek mencari dana dan merancang pelbagai aktiviti yang dapat menarik penonton membanjiri stadium Shah Alam.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan bersalaman bersama pemain veteran sebelum sepak mula Piala Sultan Selangor 2019 di Stadium Shah Alam, pada 24 Ogos 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

“Pada awal penganjuran TSSC tidak ramai peminat bola sepak yang tahu mengenainya, namun dengan pelbagai usaha promosi, nama TSSC mula menarik perhatian peminat khususnya Selangor dan Singapura.

“Pelbagai acara yang dianjurkan setiap tahun, tetapi yang masih segar dalam ingatan ialah persembahan payung terjun, pertunjukan laser, persembahan ‘cheerleading’, persembahan artis ternama seperti Datuk Jamal Abdillah, Ella, Alleycats dan ramai lagi.

“Kami sentiasa berusaha merancang perkara baru saban tahun agar TSSC sentiasa cemerlang dan ditunggu-tunggu.

“Kami telah mengadakan acara cabutan bertuah yang menawarkan hadiah tiket percutian, motosikal dan kereta. Peminat hanya perlu membeli tiket berharga RM10 untuk layak menyertai cabutan bertuah,” katanya.

Jelas Abd Karim, Sultan Sharafuddin sangat teliti mengenai gerak kerja dan perancangan Jawatankuasa TSSC bagi memastikan pertandingan meriah dan memikat hati rakyat.

“Paling penting Tuanku selalu menasihati saya agar memastikan tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku yang boleh menjejaskan objektif TSSC untuk mengeratkan hubungan. Oleh itu kami senantiasa memberi fokus kepada aspek keselamatan khususnya pemain dan penyokong kedua-dua pasukan. Kalah atau menang adat permainan, yang penting semangat kesukanan,” ujarnya.

Gelagat penyokong Selangor pada kejohanan Piala Sultan Selangor 2019 di Stadium Shah Alam pada 24 Ogos 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

Sultan Sharafuddin sangat mementingkan kesihatan rakyatnya, terutama kanak-kanak yang turut ke Stadium Shah Alam bersama keluarga.

Keprihatinan Baginda terhadap rakyat jelas terserlah apabila menitahkan Abd Karim selaku pengerusi TSSC mengumumkan pembatalan perlawanan berikutan keadaan jerebu yang teruk pada 2015. TSSC turut dibatalkan pada 2020 dan 2021 kerana penularan pandemik Covid-19.

Sepanjang TSSC berlangsung, Pilihan Selangor muncul juara sebanyak 10 kali manakala tujuh memihak Pilihan Singapura. Kedua-dua pasukan dinobatkan sebagai Juara Bersama pada 2004 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Pilihan Selangor turut mencipta sejarah ‘hatrik’ apabila menang tiga kali berturut-turut pada tahun 2012, 2013 dan 2014.


Pengarang :