SHAH ALAM,5 APRIL: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengagihkan 4,000 bungkus bubur lambuk secara percuma kepada pengunjung di Kompleks PKNS di sini hari ini.
Bubur lambuk yang didatangkan khas daripada Kampung Baru itu turut diagihkan kepada peniaga dan pemandu teksi di kompleks tersebut bermula jam 4 petang.
Ketua pegawai eksekutifnya berkata pemberian bubur lambuk Kampung Baru itu merupakan tradisi PKNS sejak 20 tahun lalu, namun tidak dapat dianjurkan dua tahun berikutan pandemik Covid-19.
“Kita dapat meneruskan semula tradisi untuk mengedarkan bubur lambuk dari Kampung Baru sempena Ramadan.
“Untuk keseluruhan program edaran bubur lambuk kita peruntukan kira-kira RM30,000,” kata Dato’ Mahmud Abbas ditemui selepas mengedarkan bubur lambuk di Kompleks PKNS Shah Alam.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Real Estate Sdn. Bhd. (PREC), Sr. Fakru Radzi Ab. Ghani dan pengurusan PKNS.
