Orang ramai membeli barangan keperluan pada program Jualan Prihatin Rakyat di pekarangan Dewan Orang Ramai Kampung Padang Jawa, Shah Alam pada 10 April 2022. Foto REMY ARIFIN SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKPS: Inisiatif jualan murah dapat sambutan, peroleh hasil hampir RM650,000

SHAH ALAM, 10 APRIL: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mencatat hasil jualan RM649,977 melalui program Jualan Prihatin Rakyat sejak dilancar pada 28 Februari lalu.

Pengurus Besar Perniagaan dan Pemasarannya Rosnani Abdul Malek berkata angka itu berdasarkan jualan ayam, telur, ikan, daging serta sayur-sayuran di 19 Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga semalam.

Pengurus Besar Perniagaan dan Pemasaran PKPS Rosnani Abdul Malek. Foto REMY ARIFIN SELANGORKINI

“Penerimaan penduduk setempat memang menggalakkan kerana kita menjual barangan pada harga yang sangat murah berbanding pasaran semasa.

“Subsidi ini dibantu Kerajaan Negeri melalui dana Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) di bawah program EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Ir Izham Hashim,” katanya pada program jualan di pekarangan Dewan Orang Ramai Kampung Padang Jawa di sini hari ini.

Beliau berkata selain di Padang Jawa, inisiatif jualan murah hari ini turut diadakan di perkarangan kediaman Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang serta Sungai Buloh yang menyasarkan hasil jualan antara RM10,000 hingga RM18,000.

Program diadakan setiap hujung minggu di 64 kawasan di seluruh negeri bertujuan mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga barang dan inisiatif ini dianjurkan sehingga perayaan Aidilfitri.

Sebanyak 10,000 ayam, 3,100kg daging segar, 6,200kg ikan kembung dan selayang serta 315,000 biji telur gred B turut dijual sepanjang program berkenaan.

Menerusi program itu, ayam standard dijual pada harga RM12 seekor, daging pejal segar (RM35 perkilogram), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM8 per pek).


Pengarang :