Orang ramai membeli barangan keperluan pada program Jualan Prihatin Rakyat di pekarangan Dewan Orang Ramai Kampung Padang Jawa, Shah Alam pada 10 April 2022. Foto REMY ARIFIN SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

PKPS sedia teruskan program jualan murah jika ramai minta

SHAH ALAM, 10 APRIL: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sedia meneruskan program Jualan Prihatin Rakyat yang dijadualkan berakhir hujung bulan ini sekiranya mendapat permintaan ramai.

Pengurus Besar Perniagaan dan Pemasarannya Rosnani Abdul Malek berkata bagaimanapun perkara itu perlu dibincang bersama EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Ir Izham Hashim sebelum mencapai kata putus.

“Saya percaya ramai penduduk menyambut baik program ini kerana pelbagai produk serta barangan asas dijual pada harga lebih murah berbanding harga semasa sekali gus membantu mengurangkan kos perbelanjaan mereka.

“Namun, kita perlu tengok dahulu. Jika ada permintaan, kita akan teruskan kerana program ini sepatutnya berakhir menjelang Aidilfitri,” katanya selepas meninjau program jualan murah di pekarangan Dewan Orang Ramai Kampung Padang Jawa di sini, hari ini.

Program Jualan Prihatin Rakyat diadakan setiap hujung minggu di 64 kawasan di seluruh negeri bagi meringankan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

Sebanyak 10,000 ayam, 3,100kg daging segar, 6,200kg ikan kembung dan selayang serta 315,000 biji telur gred B turut dijual sepanjang program berkenaan.

Menerusi inisiatif itu, ayam standard dijual pada harga RM12 seekor, daging pejal segar (RM35 perkilogram), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM8 per pek).

 


Pengarang :