Dato’ Menteri Besar, Dato Amirudin Shari bersama Exco Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail bergambar bersama selepas merasmikan Pelancaran Program Pemerkasaan Penjaja Melalui Inisiatif Platform Selangor (PLATS) di Bazar Ramadan BK5, Subang Jaya pada 8 April 2022.Turut sama Datuk Bandar Subang Jaya, Dato’ Johary Anuar dan Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahir Iskandar. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

PLATS beri peluang lebih 1,000 usahawan Subang Jaya jana pendapatan

SUBANG JAYA, 9 APRIL: Pelaksanaan Platform Selangor (PLATS) berjaya memberi peluang keusahawanan kepada peniaga dalam menjana pendapatan lebih tinggi.

Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar berkata program Kerajaan Negeri itu memberi impak positif khasnya usahawan mikro untuk terus bangkit demi kelangsungan hidup.

Datuk Bandar Subang Jaya, Dato’ Johary Anuar

“Sejak 2021 sehingga hari ini, seramai 1,099 peniaga terutama dalam kalangan usahawan mikro di kawasan Subang Jaya berjaya mendaftarkan perniagaan menerusi PLATS.

“Usaha murni yang ditunjukkan ini bukan sahaja memberi impak malah membuka lebih banyak ruang dan peluang khususnya kepada golongan peniaga bagi mempromosikan jenama produk masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikiam pada majlis Pelancaran PLATS 3.0 di Bazar Ramadan Bandar Kinrara 5, Puchong yang dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Amirudin turut meluangkan masa bertemu dengan peniaga dan pengunjung di bazar tersebut diiringi EXCO Usahawan Rodziah Ismail; EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han dan EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau.

Tambah Johary, sepanjang Ramadan tahun ini sebanyak 16 lokasi bazar dibuka dalam pentadbiran MBSJ dengan sejumlah 1,251 petak jualan ditawarkan.

“MBSJ melalui pelaksanaan bazar Ramadan menggariskan empat elemen penting ke arah merealisasikan kempen Go Green-Inisiatif Hijau.

“Untuk menggalakkan masyarakat membudayakan kempen mengurangkan penggunakan plastik, MBSJ melalui Kempen ‘Bawa Bekas Sendiri’ menyediakan baucar belian bernilai RM5 kepada 2,000 pengunjung yang membawa bekas makanan sendiri ke bazar,” katanya.


Pengarang :