Tangkap layar video tapak pelupusan mercun di Sentul Work, Kuala Lumpur terbakar pada 26 April 2022. Foto Bernama Radio
AGENDA NASIONAL

Polis akan semak semula SOP lupus mercun, bunga api

KUALA LUMPUR, 27 APRIL: Polis akan menyemak semula tatacara operasi piawai (SOP) dengan pihak mahkamah mengenai kaedah bersesuaian untuk melupuskan mercun dan bunga api.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata ia bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku seperti letupan semasa melupuskan bahan itu di stor penyimpanan barang kes Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini semalam.

Beliau berkata pihaknya sedang menunggu laporan penuh daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pihak kimia bagi kaedah bersesuaian selepas ini.

“Jumlah mercun dan bunga api yang meletup semasa dilupuskan semalam begitu besar,” katanya mengulas mengenai perkembangan kejadian letupan mercun dan bunga api di stor penyimpanan barang kes berkenaan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata pihaknya menerima laporan berkaitan insiden itu kira-kira 6.15 petang semalam yang membabitkan kerosakan cermin dan bumbung tujuh rumah.

“Siasatan awal mendapati 18 kereta dan dua lori yang merupakan barangan kes telah terbakar di dalam stor berkenaan namun nilai kerugian masih dalam siasatan.

“Selain itu, pasukan forensik kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur juga menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca letupan,” katanya kepada pemberita di IPD Sentul.

Beh berkata kebakaran stor penyimpanan barang kes tersebut dipercayai berpunca daripada haba akibat aktiviti pelupusan bunga api dan mercun.

– BERNAMA


Pengarang :