Seorang anggota polis maut dalam kemalangan di Jenjarom, semalam.
AGENDAJENAYAH

Polis buru suami tetak isteri, ahli keluarga mentua guna parang

KOTA TINGGI, 16 APRIL: Polis sedang memburu seorang lelaki yang disyaki menetak empat ahli keluarganya menggunakan parang ketika waktu berbuka puasa di sebuah rumah di Kampung Sedili Kecil, Kuala Sedili, di sini, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata lelaki itu adalah Mohd Adi Hashim, 38, yang bekerja di sebuah ladang nanas dan beralamat terakhir di No. 1003, Blok 12, Felda Air Tawar 3, di sini.

Beliau berkata kejadian pada 7.11 malam itu menyebabkan isterinya yang berusia 30-an, ibu mentua berusia 50-an, adik ipar perempuan berusia 30-an serta adik ipar lelaki berusia 16 tahun cedera parah.

“Hasil siasatan mendapati, secara tiba-tiba, lelaki itu dipercayai mengamuk dan menetak kesemua mangsa yang berada di dalam rumah menggunakan parang. Ketika kejadian, dua anak lelaki itu masing-masing berusia lima tahun dan dua bulan berada bersama isterinya, namun kedua-duanya tidak cedera.

“Keempat-empat mangsa dirawat di Hospital Kota Tinggi dan berada dalam keadaan stabil. Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hussin berkata Pusat Kawalan Daerah Kota Tinggi menerima maklumat awam berhubung kejadian itu melalui panggilan Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 pada 8.22 malam, hari sama.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai lelaki tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nurul Syafiqah Khalid di talian 019-5121 568 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi 07-8831 222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

— BERNAMA

 


Pengarang :