Mercun Pop Pop antara yang dibenarkan sempena perayaan Chap Goh Mei kerana tidak mengandungi bahan bakar yang boleh membahayakan keselamatan. Foto Facebook Pop Pop Bunga Api
AGENDANASIONAL

Polis Kelantan pantau penjualan bunga api, mercun sepanjang Ramadan

KOTA BHARU, 4 APRIL: Polis Kelantan akan memantau kegiatan penjualan mercun dan bunga api di bazar Ramadan, pasar dan kaki lima pasar raya bagi memastikan tiada peniaga culas dan menjual mercun yang tidak dibenarkan secara ‘sembunyi-sembunyi’.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata setakat ini hanya dua jenis bunga api iaitu jenis ‘Happy Boom’ dan ‘Pop-pop’ dibenarkan untuk jualan sempena Aidilfitri, dengan syarat peniaga perlu mematuhi semua peraturan ditetapkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata walaupun ada peniaga menjual mercun dan bunga api yang dibenarkan tetapi tidak mustahil mereka menjual mercun tidak diluluskan secara sembunyi kerana mahu mendapatkan keuntungan lebih.

“Sepanjang Ramadan dan menjelang hari raya kita tahu mercun adalah sebahagian minat kepada kanak-kanak dan disebabkan itulah pihak Bukit Aman hanya meluluskan beberapa jenis mercun dan bunga api sahaja.

“Di Kelantan sendiri kita tiada sebarang permit untuk membawa masuk mercun dan sebarang penjualan secara ‘sembunyi-sembunyi’ akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (AKta 207) yang boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya sekali sekiranya gagal mematuhi syarat ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Terdahulu, Shafien hadir pada Majlis Pemakaian Lencana Pangkat dan Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Cawangan Khas, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dan Ketua Jabatan Logistik IPK Kelantan.

Pada majlis tersebut 19 pegawai dinaikkan pangkat dan bertukar termasuk SAC Salim Youb yang dinaikkan pangkat dan kini menjawat jawatan Ketua Cawangan Khas Kelantan dan SAC Datuk Nor Yhazid Idris dinaikkan pangkat menjadi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan yang baharu.

Dalam perkembangan berkaitan, Shafien berkata kesemua Ketua Polis Daerah (KPD) di sempadan Malaysia-Thailand di empat daerah bersempadan seperti Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah dan Jeli diarahkan supaya sentiasa memantau sebarang percubaan menyeludup masuk mercun.

Katanya, polis akan memberi tumpuan terhadap ’lorong tikus’ dan pangkalan haram kerana yakin akan ada cubaan daripada kumpulan penyeludup untuk membawa bahan itu ke sini selain memantau aktiviti penjualan secara dalam talian.

– BERNAMA


Pengarang :