Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain (tiga kanan) melakukan gimik pelepasan konvoi Pasukan Petugas Op Selamat 18/2022 pada majlis pelancaran Op Selamat 18/2022 sempena Hari Raya Aidilfitri ketika di Menara Telekom Malaysia (TM) pada 26 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis perluas penggunaan alat pengesan had laju bagi kesan pesalah trafik

KUALA LUMPUR, 26 APRIL: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperluas penggunaan alat pengesan had laju In-Car Radar dan alat iCOPS di sepanjang lebuh raya bagi mengesan pesalah trafik yang memiliki saman tertunggak serta waran tangkap.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain berkata alat tersebut digunakan bagi menyemak nombor pendaftaran kenderaan sama ada palsu atau melakukan kesalahan trafik.

Beliau berkata ia akan diletakkan secara statik dan bergerak serta tidak tertumpu pada satu-satu tempat sahaja.

“Pesalah trafik mudah dikesan ketika orang ramai pulang ke kampung secara beramai-ramai kerana mereka yang mempunyai saman tertunggak dan waran tangkap kesalahan trafik susah untuk dikesan pada hari biasa.

“Mereka yang memiliki waran tangkap dan saman tunggakan trafik akan ditahan serta-merta di atas jalan dan akan dibawa ke balai berhampiran untuk proses dokumentasi jaminan dan kemudian akan diminta hadirkan diri ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Op Selamat 18/2022 sempena Hari Raya Aidilfitri di Menara TM di sini hari ini.

Sementara itu, Razarudin berkata Op Selamat ke-18 sempena Aidilfitri akan bermula pada 29 April hingga 8 Mei depan dengan memberi fokus meminimumkan jumlah kes kemalangan jalan raya dan kemalangan maut.

“Dijangkakan sebanyak dua hingga empat juta kenderaan akan berada di atas jalan raya pada satu-satu masa ketika balik kampung di seluruh negara.

“Selain itu, PDRM juga bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain untuk terus memantau situasi supaya selamat untuk pengguna jalan raya sepanjang musim perayaan,” katanya.

Razarudin berkata PDRM juga akan menjalankan pemantauan ke atas kenderaan perdagangan agar mematuhi waktu larangan berada di lebuh raya dan jalan raya bagi memastikan kelancaran lalu lintas.

Jelasnya, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik juga akan menggunakan pendekatan berteraskan Total Enforcement and Services dengan menjalankan penguatkuasaan operasi secara bersasar bagi menurunkan kadar kemalangan biasa dan kemalangan maut.

“Tindakan saman serta-merta akan dikenakan kepada pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan seperti memandu melebihi had laju, pandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan dan tidak mematuhi lampu isyarat,” katanya.

Beliau berkata bagi kesalahan keenam pula iaitu menggunakan alat telekomunikasi semasa memandu, ia tidak boleh dikenakan kompaun namun pesalah perlu hadir ke mahkamah untuk perbicaraan.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai perkembangan seorang pegawai polis wanita yang membuat ‘live’ atau rakaman video secara langsung menerusi aplikasi TikTok semasa operasi di sebuah pusat hiburan, Razarudin berkata kes berkenaan masih dalam siasatan.

“JIPS (Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard) sedang melakukan siasatan secara terperinci termasuk mengenakan tindakan yang bersesuaian ke atas pegawai terbabit,” katanya.

Semalam, JIPS diarah membuat siasatan secara menyeluruh berhubung seorang pegawai polis wanita membuat rakaman video secara langsung menerusi aplikasi TikTok ketika operasi di sebuah pusat hiburan.

Ia berikutan tular satu video berdurasi satu minit 38 saat yang memaparkan pegawai wanita berpakaian jaket seragam operasi PDRM berpangkat ASP menerangkan tentang sebahagian skop kerjanya menjalankan serbuan dan pemeriksaan.

– BERNAMA

 


Pengarang :