Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam pada 23 September 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis Selangor saran maklum pergerakan sebelum balik kampung

DENGKIL, 27 APRIL: Orang ramai yang merancang pulang ke kampung sempena Hari Raya Aidilfitri disaran memaklumkan mengenai pergerakan mereka bagi memudahkan pihak polis membuat rondaan pencegahan jenayah, kata Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed.

Beliau berkata mereka boleh memaklumkan dengan menghubungi balai polis berdekatan atau bilik gerakan setiap Ibu Pejabat Polis Daerah, memuat turun borang balik kampung melalui pautan http://rmp.gov.my atau aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) dalam telefon pintar.

Arjunaidi berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat 18/2022 peringkat kontinjen Selangor di Kawasan Rehat dan Rawat Dengkil (Arah Selatan) di sini hari ini.

Op Selamat 18/2022 dijalankan serentak di seluruh negara bermula Jumaat ini hingga 8 Mei depan dengan fokus meminimumkan kadar kemalangan jalan raya selain mencegah jenayah pecah rumah dan memastikan keselamatan harta benda yang ditinggalkan semasa pulang kampung.

Beliau berkata pihak polis juga menjalin kerjasama strategik dengan pengusaha stesen minyak sejak 2013 menerusi Program ‘Go-To-Safety-Point’ (GTSP), yang membolehkan pengguna jalan raya menjadikan stesen minyak sebagai ‘titik selamat’ sekiranya berlaku kecemasan, kemalangan atau menjadi mangsa jenayah.

Di seluruh Selangor sahaja, katanya terdapat 551 stesen minyak terlibat dalam GTSP iaitu Petronas dengan 228 stesen, diikuti Shell (185), Petron (125), Caltex (tujuh) dan BHPetrol (enam).

-BERNAMA


Pengarang :