Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada 17 Januari 2022. Foto BERNAMA
SELANGOR

Polis selesai 11 kes curi lori, sepuluh anggota Geng Esvaran ditahan

SUNGAI BULOH, 15 APRIL: Polis berjaya menyelesaikan 11 kes curi lori melibatkan kerugian dianggarkan bernilai RM605,000 apabila menahan 10 anggota ‘Geng Esvaran’ di Negeri Sembilan dan Johor, dalam operasi pada 5 hingga 10 April lepas.

Kesemua lelaki tempatan berumur lingkungan 28 hingga 62 tahun itu ditahan menerusi op lejang lori.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata sindiket itu didalangi seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun yang merancang dan mengupah tiga individu lain untuk mencuri lori di sekitar Selangor.

Beliau berkata bertindak atas maklumat dan hasil risikan, polis menahan tiga lelaki di Plaza Tol Senawang, Seremban dan hasil soal-siasat membawa polis ke bengkel di Tongkang Pechah, Batu Pahat dan menahan enam lelaki dan seorang wanita.

“Modus operandi sindiket ini adalah curi lori di Selangor kemudian dijual kepada ‘orang tengah’ yang dipertanggungjawab untuk menghantar ke sebuah bengkel di Tongkang Pechah sebelum ia dileraikan suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh, di sini hari ini.

Menurutnya, kadar upah ‘orang tengah’ untuk setiap penghantaran lori adalah sekitar RM3,000 hingga RM5,000.

Arjunaidi berkata menerusi serbuan di bengkel itu, polis merampas 20 lori yang komponennya dileraikan serta sembilan enjin dikikis nombor enjin dan nombor casisnya, dipercayai untuk dijual sebagai alat ganti.

“Selain itu, polis turut merampas sebuah lori yang belum dileraikan di sebuah premis berlainan di Jalan Kluang, Batu Pahat,” katanya.

Arjunaidi berkata hasil goresan terhadap enjin dan komponen lori mendapati lori-lori yang dicuri itu melibatkan tujuh laporan kehilangan dibuat di Selangor.

“Empat daripada 10 suspek yang ditahan memiliki rekod lampau berkait jenayah serta dadah dan polis masih mengesan dua lagi suspek kes ini iaitu lelaki dikenali sebagai Sivakumar yang bertindak sebagai ‘orang tengah’ dan seorang warga Bangladesh dikenali sebagai Aktakur@Panjang,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :