Orang ramai dinasihatkan untuk mengelak daripada membuat pembelian melalui platform atau penjual yang meragukan.
AGENDAJENAYAH

Polis terima 22 laporan penipuan beli pakaian, kelengkapan raya

KUALA LUMPUR, 26 APRIL: Polis menerima 22 laporan kes penipuan jualan pakaian dan kelengkapan bagi sambutan hari raya dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini melibatkan kerugian RM19,773.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata pihaknya mengesan sindiket itu yang aktif melakukan penipuan dengan mengiklankan penjualan pakaian dan kelengkapan hari raya dalam media sosial.

Menurutnya, siasatan mendapati selepas pembayaran secara dalam talian dibuat, mangsa tidak menerima barangan yang dibeli.

“Menyedari wujudnya permintaan tinggi untuk mendapatkan pakaian serta kelengkapan bagi sambutan hari raya ini, sindiket mula aktif melakukan penipuan dengan mengiklankan barangan mereka yang tidak wujud di media sosial.

“Orang ramai dinasihatkan untuk mengelak daripada membuat pembelian melalui platform atau penjual yang meragukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Kamarudin berkata orang ramai boleh menghubungi Scam Response Centre Jabatan Siasatan Jenayah Komersial melalui talian 03-26101559 atau 03-26101599 serta portal https://semakmule.rmp.gov.my/ bagi membuat semakan berkaitan nombor akaun bank dan nombor telefon yang mungkin digunakan untuk aktiviti jenayah.

– BERNAMA


Pengarang :